GEORGE TOWN – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin berpendapat Barisan Nasional (BN) berpeluang merampas semula kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Jelas beliau, ia susulan pimpinan Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan calon luar yang tidak sinonim dengan kehendak anak tempatan Tasek Gelugor.
“Jika benar Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Nik Abdul Razak daripada Amanah calon yang akan dipertaruhkan di Tasek Gelugor jadi InsyaAllah peluang BN untuk tawan kerusi itu adalah lebih cerah.
“Ini kerana penyandang kerusi ini menang atas tiket BN meskipun ketika PRU14 berlaku tsunami politik.
“Selain itu, BN juga ketika itu telah memenangi dua dari tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Sungai Dua dengan majoriti 1,934 (undi) dan DUN Permatang Berangan dengan majoriti 646 (undi).
“Tidak cukup itu, ADUN Sungai Dua, Datuk Muhammad Yussof Mohd Nor telah menambah majoriti undi sebanyak 1,934 (undi) pada PRU14 berbanding 357 undi pada PRU13,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah beliau, tindakan PN dan PH menempatkan calon bidan terjun ibarat membuka butik Prada di luar bandar.
“Tindakan PH dan PN tidak sinonim dengan kehendak anak tempatan Tasek Gelugor dan ia seperti membuka butik Prada di LahaQ Yooi kerana only devil wears Prada (hanya syaitan yang akan memakainya),” katanya.
Mengulas lanjut Shaik Hussein berkata, hubungan baik antara kepimpinan UMNO bahagian serta ahli Pas di kawasan berkenaan turut memberi kelebihan kepada ADUN kawasan tersebut.
“Kedua-dua ADUN dalam Parlimen Tasek Gelugor berkhidmat tanpa memilih parti ia sekali gus memberikan kelebihan bagi mereka,” ujar beliau. – MalaysiaGazette