Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Muktamar Nasional Ke-16 Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 29 OKTOBER 2022.

BANGI – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima penjelasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menuduhnya sebagai ahli Freemason.

Menurut Anwar, beliau hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada Abdul Hadi berhubung perkara tersebut dan ia telahpun dilakukan.

“Saya dah kata saya minta hanya penjelasan, beliau nafikan tuduhan itu. Bagi saya cukup baik,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Muktamar Nasional kali ke-16, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya penafian Abdul Hadi yang menafikan beliau pernah Presiden PKR itu ‘ahli Freemason sedunia’.

Dalam kenyataannya di laman Facebook, Abdul Hadi berkata, pihaknya tampil membuat penafian itu berikutan tular video ucapan Anwar yang mendakwa beliau menuduhnya sedemikian.

Abdul Hadi yang juga penyandang kerusi Parlimen Marang berkata,  menjelang PRU15, Pas tetap menolak budaya politik fitnah, janji kosong dan tuduhan palsu yang tidak berasas.

Artikel berkaitan: Anwar nafi terlibat dalam Freemason

Hadi tidak pernah tuduh Anwar ahli Freemason

Mengulas lanjut, Anwar yang juga penyandang kerusi Parlimen Port Dickson memberitahu, beliau berterima kasih kepada Abdul Hadi kerana memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun beliau menegaskan, terdapat surat yang membuktikan bahawa Abdul Hadi pernah berbuat demikian.

“Saya ucap terima kasih penjelasan setelah setahun setengah bahawa dia tidak tuduh begitu tetapi surat itu ada. Surat itu maknanya dia (Anwar) sokong Yahudi dan Amerika CIA, Freemason, itu ada.

“Bila dia kata tak tuduh, saya ucap terima kasih. Saya terima baik kenyataan beliau,” ujarnya.

Anwar dalam beberapa siri ceramahnya menjelang PRU15 mengetengahkan isu surat Abdul Hadi kepada beberapa pemimpin Islam pasca PRU14 bagi menafikan kaitannya dengan Freemason. – MalaysiaGazette