mahkamah Syed Saddiq pendidikan seks
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang memerintahkan penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta telah menimbulkan banyak naratif buruk terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Timbalan Ketua MUDA Parlimen Putrajaya, Hafiz Daniel Khairul Anwar bimbang situasi itu mungkin akan memberi kesan dari segi sokongan orang ramai terhadap parti berkenaan.

Beliau percaya mungkin ramai yang tidak faham tentang proses perbicaraan mahkamah.

“Ketahuilah walaupun pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, ini tidak bermakna Syed Saddiq sudah dijatuhkan hukuman bersalah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Syed Saddiq diperintah membela diri atas empat pertuduhan melibatkan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, menyalahgunakan harta untuk diri sendiri serta dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Hafiz Daniel menambah, ahli-ahli MUDA sentiasa mengangkat serta menghormati sistem kehakiman negara dan patuh dengan keputusan mahkamah meminta Syed Saddiq untuk membela diri beliau ke peringkat seterusnya.

Beliau yakin pasukan peguam Syed Saddiq yang juga Presiden MUDA akan mengemukakan hujah, saksi dan bukti yang kukuh dalam proses pembelaan pada Februari 2023 nanti.

“Kami menyokong penuh dalam menegakkan keadilan buat Presiden MUDA dan juga mengharapkan beliau dapat terus berbakti kepada masyarakat di Parlimen Muar.

“Semoga sokongan akar umbi akan terus kukuh dan kuat dalam menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” jelasnya. – MalaysiaGazette