Dua bekas presiden MCA, Liow Tiong Lai dan Ong Tee Keat membuat kemunculan semula pada PRU15 ini.

KUALA LUMPUR – Dua bekas presiden MCA yang juga bekas Menteri Pengangkutan akan masuk semula ke gelanggang pilihan raya.

Datuk Seri Ong Tee Keat memberitahu Sinchew Daily, beliau membuat keputusan bertanding semula selepas mempertimbangkan ajakan daripada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Tee Keat berkata, beliau menghadapi pilihan raya lalu dengan penuh harapan dapat melihat “Malaysia baharu” , tetapi harapan itu berakhir dengan kekecewaan.

Beliau berkata, amalan populis kini berleluasa dan Malaysia perlu mencari jalan keluar dari kemelut itu.

Menurut Tee Keat, beliau telah kembali ke “kawasan lama” iaitu Pandan di Selangor untuk memantau keadaan dan juga cenderung memilih untuk bertanding di kawasan yang sudah beliau kenali.

“Saya bukannya menyasar mana-mana Ahli Parlimen, tetapi penduduk memberitahu saya bahawa muka wakil rakyat hanya muncul dalam kain rentang semasa musim perayaan.

“Orang di sini masih berdepan banyak isu tempatan dan kerja di sini bukan hanya melihat longkang dan parit sahaja,” katanya kepada Sinchew Daily.

Pandan sebelum ini merupakan kerusi Ampang Jaya dan Tee Keat pernah menjadi wakil rakyat masing-masing di Pandan dan Ampang Jaya dari  1989 hingga 2013, tetapi beliau tidak dicalonkan pada 2013.

Dalam perkembangan di Bentong, Pahang pula, seorang lagi bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengajak pengundi Cina untuk “balik” dan menyokong MCA.

Kata Tiong Lai kepada Sinchew Daily, walaupun ramai yang memaki dan mengkritik MCA, tetapi beliau tidak berkecil hati, tetapi melihatnya sebagai pengorbanan yang perlu dilakukan.

Beliau berkata, orang Cina jangan berasa “dingin” dengan politik, tetapi pada masa yang sama jangan “meletak semua telur dalam bakul yang sama”, yakni tidak menyokong hanya satu parti sahaja.

Tiong Lai yang dilihat merupakan orang kuat Bentong sebelum ini, telah kecundang dalam pilihan raya lalu yang menyaksikan MCA hanya menang di satu kerusi Parlimen di seluruh negara.

Susulan kekalahan teruk MCA, Tiong Lai telah meletak jawatan sebagai presiden parti dan berundur dari barisan hadapan politik.

Beliau bagaimanapun mengumumkan akan bertanding semula di Bentong dan akan bertembung dengan calon DAP, Young Syefura Othman.