PUTRAJAYA – Seramai 24 orang peniaga yang didapati mengingkar pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya Azman Adam berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini, sebanyak 4,339 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara.
Pemeriksaan yang telah dijalankan itu melibatkan 111 pemeriksaan ke atas premis borong manakala 4,228 pemeriksaan ke atas premis runcit, katanya dalam kenyataan pagi ini.
Operasi ini dilaksanakan selama tujuh hari iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan mulai 20 sehingga 26 Oktober yang lalu.
Tambah beliau, antara kesalahan yang dikesan adalah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan, gagal meletakkan tanda harga dan gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu.
Azman berkata, berdasarkan pemantauan yang telah dilakukan dan maklum balas orang ramai, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 telah memudahkan rakyat mendapatkan bekalan dengan harga yang ditetapkan kerajaan.
“Pengguna dinasihatkan untuk terus berhemah di dalam berbelanja dan menggunakan sepenuhnya hak-hak mereka sebagai pengguna terutamanya dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi yang berlaku ketika ini.
“Kuasa pengguna adalah sebagai langkah pencegahan awal yang boleh diambil oleh pengguna agar tidak mudah dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi sukar ketika ini. – MalaysiaGazette