KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan tidak gentar sama sekali untuk berdepan dengan mana-mana calon termasuklah Khairy Jamaluddin yang dijangka menjadi pencabarnya.
Ramanan berkata, keyakinan itu berdasarkan gerak kerja Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan faktor dirinya sendiri.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan I PKR berkata, tidak kira calon itu adalah dari UMNO mahupun MIC, beliau akan ‘all out’ bagi memberikan kemenangan besar kepada PKR.
“Benar sebelum ini saya diarahkan bekerja di kawasan lain, tetapi jika parti rasa saya perlu ke Sungai Buloh, saya akur. Lagipun Sungai Buloh ini sentiasa dekat dengan hati saya sejak dulu lagi, saya telah mula turun padang ketika Sungai Buloh masih lagi dikenali sebagai ‘Subang’ lagi.
“Mantan penyandang, mendiang Tan Sri KS Nijhar adalah mentor saya untuk sekian lama, ramai tahu tentang perkara ini kerana ianya bukanlah rahsia. Mungkin ada hikmahnya. Bukan sahaja KJ sebaliknya sesiapa sekalipun, kita (PH) sedia berdepan tanpa rasa gentar.
”Paling penting, kemenangan ini adalah untuk memenangkan rakyat, mandat pengundi Sungai Buloh yang hanya mahu kebajikan dan keperluan mereka terbela. Itu yang penting dan itulah ikrar janji saya juga,” katanya.
Dalam pada itu, beberapa sumber tertinggi parti itu mendedahkan laporan kononnya penyandang kerusi itu, R Sivarasa telah digugurkan kerana beliau ‘rapat’ dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Namun itu bukan sebabnya, sebaliknya kata sumber tertinggi parti, Sivarasa tidak dapat bertanding pada PRU kali ini kerana tahap kesihatan beliau tidak mengizinkan dirinya menjadi calon Parlimen Sungai Buloh.
“Tahap kesihatan beliau agak merosot pada masa ini malah beliau juga sukar untuk bercakap .. Itu juga antara sebab mengapa segelintir pemimpin tertinggi berpendapat Ramanan lebih sesuai untuk menggantikan beliau ke kerusi berkenaan.
”Bukan senang hendak suka-suka gugurkan nama besar seperti Sivarasa yang memang sebati dengan Sungai Buloh. Majoriti kita dulu sebanyak 26,634 undi pada PRU lepas.
“Lagipun Ramanan juga bukanlah asing di Parlimen Sungai Buloh. Pimpinan berpendapat itu adalah keputusan terbaik apatah lagi ada calon heavyweight seperti Khairy mewakili BN, seperti ‘buku bertemu ruas’ selepas ini,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette pagi ini.
Untuk makluman juga, kerusi Sungai Buloh sebenarnya merupakan kerusi tradisi MIC dan sememangnya parti terbesar masyarakat India itu sudah mempunyai calon yang bekerja di situ sejak lebih dua tahun ini.
Difahamkan Sungai Buloh sudah menjadi pilihan Khairy sejak dimaklumkan beliau tidak akan bertanding di Parlimen Rembau.
Malah MIC juga sudah memberikan isyarat parti itu sedia menukar kerusi tradisi mereka setelah kalah tiga penggal berturut-turut sejak 2008.
Dan pencalonan Khairy dirasakan mampu membawa kemenangan lebih besar kepada BN.
Dalam pada itu, MIC di jangka bertanding di Parlimen Batu setelah melepaskan Sungai Buloh kepada UMNO namun ianya belum lagi muktamad.
Sebelum ini Gerakan bertanding di Batu sebelum meninggalkan BN setelah kalah besar pada PRU-14.-
Daftar pengundi di Parlimen Sungai Buloh merekodkan pengundi Melayu sebanyak 105,000 manakala Cina seramai 30,000 dan India 16,000 daripada keseluruhan 155,000 pengundi setakat September. -MalaysiaGazette