Datuk Mazlan Aliman Amanah Johor
Mazlan Aliman

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor membantah keputusan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor, Datuk Mazlan Aliman berkata, kerusi tersebut mesti dikembalikan kepada partinya seperti yang diputuskan sebelum ini.

“Sementara hari penamaan calon 5 November ini masih berbaki beberapa hari lagi, keputusan di Parlimen Tanjung Piai mesti dirunding semula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, MUDA mengumumkan, pengasas bersama parti itu, Lim Wei Jiet akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mazlan turut menuduh pucuk pimpinan Amanah sebagai ‘lemah’ dalam menangani rundingan kerusi antara parti-parti komponen PH sehingga menyebabkan kerusi Parlimen Tanjung Piai diserahkan kepada MUDA.

Menurut beliau, keputusan tersebut mengulangi detik hitam di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang turut diberikan kepada MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

Katanya, meskipun penegasan telah diberi kepada pucuk pimpinan parti khususnya Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ia gagal dipertahankan.

“Kerusi pinjam di Parlimen Ayer Hitam pun gagal diambil semula . Nampaknya, ia menjadi milik DAP ‘buat selama lamanya’.

“Berbeza dengan PKR dan DAP, kepimpinan Amanah begitu lemah dalam menangani rundingan kerusi yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati ahli dan penyokong parti,” jelasnya.

Mazlan menambah, Amanah Johor mesti dilihat mengurus emosi dan moral ahli parti yang cukup terkesan dengan situasi penuh kontroversi ini.

“Barang diingat mandat kepimpinan diperolehi dari ahli parti yang menjadi perwakilan dalam pemilihan.

“Bahkan, mereka yang bertungkus lumus dan berkorban apa sahaja bagi memenangkan parti setiap kali pilihan raya,” katanya.

Beliau juga berasa amat sedih dengan episod tersebut walaupun pihaknya sentiasa meraikan dan menghargai rakan-rakan dari DAP, PKR dan MUDA. – MalaysiaGazette