AMPANG – Kesediaan Datuk Seri Amirudin Shari menjadi calon di kerusi P098 Gombak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan Menteri Besar Selangor itu mempunyai konflik kepentingan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar hairan dengan sikap Amirudin itu sedangkan pendiriannya tegas dan membantah PRU15 diadakan pada tahun ini.
“Itu yang pelik, kalau dia tak setuju, jangan bertanding, bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) tak berani, tapi nak pula jadi calon (Parlimen).
“Jadi itu menampakkan mereka ini ada konflik kepentingan, dia tak berani untuk menghadapi realiti,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.
Jumaat lalu, PKR mengumumkan 72 calon Parlimen yang dipertaruhkan dalam PRU15 pada 19 November ini.
Selain Amirudin, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun antara individu yang dinamakan sebagai calon, masing-masing di Gombak dan Port Dickson.
Noh juga mempersoalkan tindakan Amirudin yang cuba mengelirukan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris berhubung kedudukan DUN Selangor selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.
“Lebih melucukan apabila Mentero Besar Selangor dia mungkin tak faham istilah antara nasihat dan permintaan.
“Kita lihat Sultan Selangor tak setuju bubar DUN, selepas itu pihak istana keluarkan kenyataan dia tak pernah bincang bubar DUN tapi diminta.
“Macam mana nak jadi Menteri Besar, request dan advice pun dia tak boleh beza,” katanya.
Katanya lagi, Amirudin didakwa cuba melakukan penipuan kepada semua pihak selepas menghadap Sultan Selangor sebelum ini.
“Awal-awal lagi sudah menipu, nasib baik Sultan Selangor merupakan seorang Sultan yang peka dan buat kenyataan.
“Apa yang dikatakan (MB) adalah tidaklah benar. Kita lihat Menteri Besar tidak mahu bubar DUN kerana sebab-sebab tertentu.
“Tapi dalam masa sama dia nak pula jadi calon Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette