Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid

GEORGE TOWN – Selepas berlaku perebutan kerusi membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Pas bagi kerusi Parlimen Balik Pulau, akhirnya kawasan itu menjadi milik Bersatu.

Bagaimanapun, sumber MalaysiaGazette berkata, keadaan menjadi tegang apabila Exco Armada Bersatu Nasional, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid dinamakan sebagai calon untuk kerusi tersebut.

“Bukan kerusi Tasek Gelugor menyebabkan Bersatu bergolak malah kerusi Parlimen Balik Pulau turut berdepan situasi sama.

“Mengikut perbincangan sebelum ini kerusi itu akan diberikan kepada Pas namun cawangan Bersatu Balik Pulau tidak setuju dan mahukan kerusi itu ditandingi calon daripada parti mereka.

“Pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dikatakan berjaya melakukan perbincangan terbaik hingga membuatkan parti komponen itu memberi laluan untuk calon Bersatu berentap di kerusi Parlimen Balik Pulau,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Muhammad Harris Idaham merupakan Pegawai Khas kepada Datuk Zuraida Kamaruddin ketika beliau menjadi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kata sumber, pergolakan yang terhenti membabitkan parti komponen PN itu membuka episod baharu apabila ahli Bersatu sesama sendiri berebut kerusi tersebut.

“Timbul pergolakan membabitkan Bersatu Pusat dengan Bersatu Bahagian Balik Pulau apabila Harris diangkat sebagai calon Parlimen Balik Pulau.

“Setakat yang kami dimaklumkan Harris sudah dimuktamadkan sebagai calon dan ia akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang media khas di ibu negara esok,” ujarnya.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim memberi gambaran beliau bersedia bertanding kerusi Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Zolkifly menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti sama ada mahu mencalonkan beliau atau sebaliknya. – MalaysiaGazette