Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berucap ketika hadir ke Jelajah Mega Harapan di Pasar Tambun, Kampung Lata, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2022.

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak ada masalah dengan DAP walaupun terdapat pertikaian mengenai beberapa kerusi antara kedua-dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, parti pimpinannya tidak mempunyai sebarang bantahan berhubung dua kerusi iaitu Parlimen Jerai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong di Perak untuk ditandingi oleh DAP.

“(Jerai dan Changkat Jong memang diberi kepada DAP?) DAP. Ya confirm. Amanah tak ada apa-apa bantahan.

“(Tak ada masalah antara DAP dan Amanah?) Tak ada masalah..tak ada masalah,” kata Mohamad ringkas kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah Jelajah Mega Harapan Perak di sini malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan Ketua Amanah Kawasan Teluk Intan, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, kerusi DUN Changkat Jong perlu kekal menjadi milik Amanah pada PRU15.

Ini kerana, menurut Ahmad Munzirie DUN Pasir Bedamar dan Parlimen Teluk Intan telah ditandingi oleh DAP.

Jelas Ahmad Munzirie, mengikut persefahaman bersama, bagi kerusi DUN Changkat Jong, persetujuan dicapai untuk diberikan kepada Amanah berdasarkan komposisi dua kerusi DAP dan satu kerusi Amanah.

Turut menjadi pertikaian DAP dan Amanah adalah Parlimen Jerai yang menyaksikan Pengerusi Amanah Kedah Datuk Phalrolrazi Mohd Zawawi dipecat kerana mengingkari keputusan-keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Mohamad berkata, pemecatan Phalrolrazi adalah amalan biasa dalam sesebuah parti dan mengaitkannya dengan pemecatan bekas Presiden Pas Datuk Asri Muda.

“Dalam disiplin parti itu perkara biasa. Dulu dalam parti Pas lama Datuk Asri pun diambil tindakan disiplin.

“Orang yang langgar disiplin parti, itu tindakan biasa,” kata Mohamad.

PH sebelum ini mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff sebagai calon di kerusi itu, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di negeri itu.

Menurut Phalrolrazi, tindakannya membantah keputusan meletakkan calon DAP di Parlimen Jerai bermatlamat menjaga kepentingan PH.

Ia juga bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.

Menurut Phahrolrazi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu, beliau merasakan  tidak sesuai untuk DAP bertanding di kerusi majoriti Melayu terutama di Parlimen Jerai PRU15.

Menurut Phahrolrazi, tindakan meletakkan DAP di kerusi tersebut boleh menjadi peluang kepada pihak lawan yang menentang PH.

“Apabila PH memutuskan untuk memberikan kerusi Jerai kepada DAP, kita hanya memberikan peluru kepada Pas dan UMNO untuk menyerang Amanah dan PH.

“Ia akan memudahkan kerja Pas dan UMNO untuk menyerang Amanah kerana gagal melindungi kepentingan masyarakat Melayu,” katanya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.