KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menasihatkan para pengundi agar tidak ‘dibutakan’ dengan kelulusan akademik dan status anugerah gelaran kebesaran calon seperti ‘Datuk’ yang tidak dipastikan kesahihannya.
Menurut badan berkenaan, gelaran tersebut mungkin diperoleh secara mudah dengan sedikit bayaran.
“Malah, terdapat juga calon yang berani dan secara ‘sedar’ menipu pengundi kerana tiada agensi atau saluran rasmi yang membolehkan mereka mengesahkan fakta tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, MCW mencadangkan agar agensi penguatkuasaan menyediakan pusat sehenti untuk memudahkan pelaksanaan sistem penyelarasan bagi mengesahkan kualiti calon.
MCW memberitahu, langkah itu membolehkan rakyat menerima maklumat yang tepat termasuk status keselamatan calon di kawasan masing-masing.
“Calon berintegriti perlu dijadikan sebagai syarat utama kepada setiap parti sebelum membuat pilihan atau mengetengahkan bakal pemimpin yang akan memimpin negara dengan amanah dan mampu mengangkat martabat Malaysia sebagai negara yang berintegriti tinggi di mata dunia,” jelasnya.
MCW turut memuji tindakan beberapa parti politik yang mengambil inisiatif mendapatkan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai status bakal calon mereka dan ia wajar dicontohi oleh semua parti yang bertanding.
“Ini menunjukkan wujud kesedaran integriti yang tinggi dan MCW berharap inisiatif ini akan menjadi budaya berterusan dalam proses pilihan raya serta politik di Malaysia.
“Pengesahan SPRM atau saringan bagi mendapatkan cap ‘sah bersih’ umpama cap SIRIM yang dapat mengesahkan kualiti ke atas bakal calon,” katanya.
MCW berkata, kaedah tersebut boleh diguna pakai sebagai proses standard untuk mereka dipilih oleh parti masing-masing dan menjadi pilihan utama para pengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – MalaysiaGazette