Mohd Yusri Hassan Basri.

IPOH – Enam lelaki termasuk empat penjawat awam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian barang kemas milik warga asing.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan itu susulan aduan dibuat seorang lelaki warga Myanmar di Balai Polis Pantai Remis pada Sabtu lalu.

“Berdasarkan laporan dibuat lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan itu, terdapat empat penjawat awam ke rumah kongsi berkenaan dan membuat penggeledahan.

“Selepas selesai penggeledahan itu baru pengadu sedar barang kemas bernilai RM14,200 milik rakan wanitanya yang juga tinggal di rumah kongsi itu hilang.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan pihak polis menahan enam suspek termasuk empat penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, kesemua suspek direman sehingga 3 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi memandangkan kes itu masih dalam siasatan,” kata beliau. – MalaysiaGazette