MARAN – Penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang dikatakan antara nama yang tersingkir daripada bertanding pilihan raya umum kali ini memilih untuk tunggu dan lihat pengumuman yang akan dibuat malam ini.
“Setakat ini saya tidak menerima apa-apa. Semua khabar angin. Baru-baru ni, saya terima juga senarai dikatakan saya dicalonkan di DUN (Dewan Undangan Negeri) Chenor, isteri saya dicalonkan di DUN Luit tapi itu tidak sah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Ling di sini hari ini.
Ismail berkata, keputusan akhir pimpinan tertinggi parti hanya akan diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) malam ini Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin tentang Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang dikatakan bakal menjadi calon di kerusi yang diterajuinya selama empat penggal itu.
“Walaupun ada berita-berita yang keluar, apabila sesuatu itu berlaku barulah ia menjadi kenyataan. Setakat ini saya tidak menerima apa-apa. Semua khabar angin,” jawabnya.
Pada PRU14 lalu, Ismail Abd Muttalib menewaskan Hasenan Haron (Pas) dan Ahmad Farid Ahmad Nordin (PKR) dengan majoriti 3,763 undi.- MalaysiaGazette