KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berjaya menyelamatkan empat mangsa warga Indonesia di Laos baru-baru ini.
Mendedahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, kesemua mangsa berumur antara 19 hingga 28 tahun yang diperdayakan oleh sindiket tersebut melalui tawaran pekerjaan di China dan Thailand.
Mangsa yang percaya dengan tawaran itu menaiki penerbangan dari Indonesia ke Thailand melalui bantuan ejen sindiket pemerdagangan tersebut kemudian dipaksa ambil satu lagi satu lagi penerbangan ke Chiang Rai.
“Sampai sana mereka dipaksa menaiki kenderaan menuju ke Chiang Sen, kawasan sempadan Thailand-Laos. Kasihan mereka kerana fikir dapat kerja halal di China atau Thailand.
“Bila sampai di lokasi di Laos, semua mangsa ini dipukul, ditendang, serta dikurung sekiranya enggan mengikuti arahan sindiket untuk melakukan aktiviti penipuan dalam talian.
“Mereka ini meminta bantuan ketika MHO dalam misi untuk menyelamatkan beberapa rakyat kita sendiri yang terperangkap di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai mengadakan sidang media di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Medan, selepas berjaya membawa pulang keempat-empat mangsa ke tanah air mereka.
Kata Hishamuddin lagi, semua mangsa ini diugut untuk melakukan penipuan atas talian terutamanya penipuan pelaburan, ‘love scam’ dan jual beli atas talian.
Jelasnya, andai enggan turut perintah, bukan sahaja mangsa dicederakan, mereka juga diugut untuk membayar ‘pampasan’ sebanyak RM3,600 jika hendak dibebaskan bersama pasport.
“Mengikut siasatan kita, ada lebih 2,000 rakyat Indonesia yang terperangkap di Laos, Myanmar dan Kemboja akibat terjebak dalam sindiket pemerdagangan manusia. Kita sedang berusaha bantu apa yang boleh tetapi perlu juga kerjasama pihak berwajib.
“Ramai yang jadi mangsa ini bukanlah kerana ‘suka-suka’ sebaliknya terpaksa kerana kedaifan keluarga, kekangan kewangan dan kehidupan susah.
“Sindiket ini juga suka sasarkan golongan sebegini akhirnya paksa mereka lakukan penipuan atas talian untuk kaut ratusan juta sekelip mata,” katanya. – MalaysiaGazette
















