Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hanya memuatkan kira-kira 500 orang sahaja dalam Majlis Pengumuman Calon Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk PRU15 pada malam ini.

KUALA LUMPUR – Kurang beberapa jam sebelum Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, sudah mula kedengaran kekecohan berlaku termasuk penutupan bilik gerakan parti itu di beberapa kawasan.

Ia dipercayai susulan penularan di media sosial sejak malam tadi mengenai 10 pimpinan UMNO yang digugurkan daripada senarai calon Parlimen BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn, di sini sejak jam 11 pagi tadi mendapati keadaan masih terkawal dan tiada sebarang kekecohan berlaku.

Malah pintu utama ke Menara Dato Onn dikawal ketat pihak keselamatan dan pemeriksaan akan dilakukan kepada setiap pengunjung yang ini berurusan di sini.

MalaysiaGazette juga dimaklumkan calon-calon BN akan mula berkumpul di Menara Onn bagi sesi fotografi bermula jam 4 petang ini sebelum majlis pengumuman itu yang dijadualkan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn di WTCKL, bermula jam 8.30 malam ini.

Sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga, pihak pengurusan BN mengehadkan jumlah kehadiran hanya 500 orang sahaja dalam majlis pengumuman calon itu.

Malah petugas-petugas media juga dihadkan kehadiran dan hanya wartawan dan juru gambar sahaja dibenarkan membuat liputan di dalam majlis itu nanti.

Ia susulan majlis itu akan disiarkan secara langsung menerusi lidah rasmi parti itu iaitu di Facebook Live BNCOMMS dan UMNO Online sahaja. – MalaysiaGazette