IPOH – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menghampiri lokasi cecair bahan kimia yang ditemukan di kawasan lapang berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, sedang melakukan penilaian keselamatan selain mengukur indeks pencemaran udara (IPU) di tempat kejadian.
“Kes itu disiasat oleh JAS Perak mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, diminta menyalurkan maklumat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, sebanyak 33 tong berisi cecair bahan kimia mengandungi 20 peratus cecair SW 402/ UN 1760 Schedules Waste yang didapati mengalami kebocoran, ditemukan di kawasan berkenaan dipercayai telah dibuang secara haram pihak yang tidak bertanggungjawab.
Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke lokasi kejadian bagi tindakan lanjut, dengan dibantu BBP Simpang Pulai dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Pasir Puteh.- BERNAMA