Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad ketika bergambar kenangan bersama jentera Pakatan Harapan pada Majlis Pelancaran Jentera Parlimen Titiwangsa dan Ramah Mesra Bersama Calon di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 01 NOVEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Berpindah dari Parlimen Shah Alam ke Titiwangsa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun Khalid Samad memberi jaminan tidak akan ikut jejak langkah Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sebaliknya beliau berazam kekal bersama dengan Pakatan Harapan (PH) jika menjadi ahli Parlimen di kawasan berkenaan meskipun mengakui kehadirannya dipertikaikan.

“Saya beri keyakinan saya tidak akan melompat macam Rina kerana kita sudah tiga penggal bersama Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin lompat sama ada bentuk kerajaan atau dikhianati. Jadi kalau ada isu cari orang luar dan akan lompat itu tidak akan timbul,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera PH Parlimen Titiwangsa di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam ini.

Terdahulu dua kali Khalid menyuarakan kemunculannya di Parlimen berkenaan adalah atas arahan parti.

“Saya ke Titiwangsa sebagai satu arahan. Saya difahamkan kita ada harapan dan peluang cerah untuk menang,” menurutnya.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pertandingan di Titiwangsa bukan untuk kepentingan dirinya atau saingannya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sebaliknya, beliau berkata, pertandingan pada kali ini penting kerana melibatkan keputusan rakyat memilih perdana menteri.

“Johari Ghani lama bergerak Khalid Samad baru datang. Bukan tentang saya dan Datuk Jo.  Ia berhubung tentang PM yang kita nak pilih.

“Kalau pengundi pilih Johari Ghani sebagai Ahli Parlimen, Titiwangsa dia akan sokong Zahid sebagai PM, PH pula memilih Anwar sebagai PM, kita hanya ada cara menghalangnya iaitu dilantik seorang PM yg benar-benar berjiwa rakyat ingin tegakkan keadilan,  hentikan rasuah perkauman dan beliau adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegasnya. -MalaysiaGazette