Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media mengenai projek LCS, Undi18 dan calon Parlimen Sembrong di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Rafizi Ramli tidak kisah dipanggil pembohong dan pengkhianat tahap gaban oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Malah, Timbalan Presiden PKR itu menyambut baik sekiranya bekas penyandang Parlimen Mersing itu hendak membuat laporan polis ke atasnya.

Katanya, lagi banyak laporan dibuat, lagi mudah untuk polis menjalankan siasatan dan akan memperolehi bukti yang mensabitkan dengan penyelewengan atau skandal Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

“Biarlah dia buat laporan polis. Lagi banyak (laporan) lagi bagus. Dia ingat dengan ugutan nak buat laporan polis, saya akan takut dan tutup mulut.

“Tidak, saya tidak takut dan saya tidak akan tutup mulut. Malah, bermula hari ini saya akan tumpukan isu LCS dalam kempen menjelang Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya pada sidang media di Pejabat PKR di Tropicana, di sini, hari ini.

Menurut Rafizi, selain laporan polis dari Dr. Abdul Latiff, beliau juga menunggu surat saman sivil dari menteri itu selepas pendedahannya yang menunjukkan bekas Ahli Parlimen Mersing itu terlibat dalam skandal LCS menerusi sebuah syarikat palsu.

“Saya juga mengambil maklum kenyataannya minggu ini bahawa beliau mempunyai tempoh masa enam tahun untuk mengemukakan saman sivil terhadap saya.

“Saya harap beliau tidak menggunakan taktik yang sama seperti Datuk Seri Najib Razak yang berjanji menyaman Wall Street Journal, tetapi sehingga ke penjara belum memfailkan saman itu,” katanya.

Berhubung pengumuman Dr. Abdul Latiff untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Mersing, Rafizi menjelaskan, itu tidak bermakna beliau boleh bebas dari tuduhan berkait skandal LCS.

“Saya harap rakyat Malaysia bersabar sementara saya terus meneliti kes ini sehinggalah tangan-tangan ghaib yang menggugat keselamatan negara di bawa ke muka pengadilan.

“Pengalaman saya menunjukkan usaha untuk membongkar tangan-tangan ghaib di sebalik skandal besar negara selalunya mengambil masa yang cukup lama.

“Sebab itu, bermula hari ini, saya ingin kembali memberi perhatian kepada skandal pertahanan negara iaitu LCS dan pembelian Meriam Howitzer (SPH) yang telah saya dedahkan sebelum ini,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, sehingga kini Dr. Abdul Latiff cuba mengelak mengenai pembabitan beliau dalam syarikat yang dinamakan dalam Laporan Audit Forensik LCS dengan hanya memberikan penafian mudah.

Menurut Rafizi, satu-satunya penafian menteri itu setakat ini adalah “Zainab bukan isteri saya”, sedangkan carian syarikat menunjukkan Dr. Abdul Latiff adalah rakan kongsi Zainab dalam syarikat Alizes Marine Ltd yang dinamakan sebagai syarikat palsu, yang mendapat kontrak pembekalan projek LCS.

“Keterlibatan beliau dalam perolehan projek LCS lebih sukar untuk dinafikan kerana ada lagi beberapa syarikat yang dinamakan dalam Laporan Audit Forensik yang ada kaitan dengannya,” kata beliau. – MalaysiaGazette