KUALA LUMPUR – Berbaki dua hari lagi untuk proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kerajaan negeri Sarawak menarik balik sekatan terhadap beberapa pemimpin PH memasuki negeri itu.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, langkah ini adalah bagi membolehkan mereka membantu calon-calon parti di Sarawak sepanjang tempoh berkempen.
“Saya berharap agar Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat memberi kelonggaran dan pertimbang untuk menarik balik larangan masuk ke atas beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PH yang disenarai hitamkan daripada memasuki Sarawak adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin, dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Selain itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua turut dilarang memasuki Sarawak.
Tahun lalu dua lagi pemimpin PH iaitu Datuk Ngeh Koo Ham darpada DAP dan pemimpin PKR, Wong Chen tidak dibenarkan memasuki negeri tersebut. – MalaysiaGazette