Penggunaan vape sama sekali tidak dibenarkan di Singapura. Gambar hiasan

JASIN – Dua pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini terpaksa dikejarkan ke hospital selepas diserang sawan dipercayai berpunca daripada menghisap cecair vape mengandungi toksik.

Menurut sumber, kejadian berlaku minggu lalu selepas kedua-dua pelajar tingkatan tiga dan lima itu mengisap vape bersama seorang lagi rakan mereka di dalam tandas sekolah berkenaan.

“Tidak lama kemudian, dua daripada pelajar lelaki terbabit tiba-tiba diserang sawan sebelum rebah diikuti mulut turut berbuih.

“Panik dengan keadaan itu, seorang lagi bertindak rakannya lari menyelamatkan diri,”
katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambahnya, kejadian kemudian disedari guru sekolah yang ternampak dua pelajar terbabit terbaring kaki lima bangunan sekolah di luar tandas.

“Pihak sekolah kemudian menghubungi ambulan dan kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Difahamkan, keracunan dipercayai berpunca daripada cecair vape yang mengandungi bahan toksik menyebabkan mangsa pengsan dan menerima rawatan di hospital sama sehingga hari ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kajian terkini berkenaan perisa yang terkandung di dalam cecair vape dikhuatiri akan menghasilkan bahan kimia toksik yang boleh menjejaskan kesihatan.

Penghasilan toksik itu dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu suhu, jenis dan usia pengunaan alatan menyebabkan penguraian haba perisa menghasilkan bahan toksik yang dikenali sebagai acrolein dan formaldehyde. – MalaysiaGazette.