KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) melibatkan seorang pegawainya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket berkenaan dipatahkan menerusi operasi yang dijalankan jam 7.45 malam semalam oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai-pegawai JIM di KLIA2.

Beliau berkata, berikutan itu seramai enam orang lelaki warga India dan seorang Pegawai Imigresen berumur 31 tahun ditahan.

“Warganegara India berkenaan berusia antara 20 hingga 42 tahun dan cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Khairul, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menawarkan e-visa palsu kepada warga asing untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong.

“Sindiket akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong tulen. Pegawai Imigresen yang bersubahat pula akan menurunkan cop ke atas passport tanpa merekodkan perjalanan warga asing tersebut ke dalam sistem MyImms,”menurut beliau.

Ujarnya, sindiket yang dipercayai mula beroperasi sejak April lalu mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap pelawat.

Tambah beliau, semua warga asing ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

Manakala Pegawai Imigresen yang terlibat pula akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast