ALOR GAJAH – Bakal calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan mengakui berdepan cabaran besar untuk menentang dua calon heavyweight kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan UMNO berusia 36 tahun itu berkata, kedua-dua mereka iaitu penyandang kerusi berkenaan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof atau Pak Wan dan bekas Ketua Menteri Menteri Adly Zahari bukanlah calang-calang lawan.
Menurutnya, Pak Wan dari Perikatan Nasional (PN) yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Adly, Pengerusi Pakatan Harapan (PN) Melaka dari Amanah adalah dua individu yang dihormati sebagai senior dalam politik.
“Saya tahu dan sedar kerusi ini kalau ikut laporan media agak sedikit hangat sebab dua calon lain bukan calang-calang juga, seorang bekas menteri dan seorang lagi bekas ketua menteri.
“Jadi saya anggap ini satu cabaran besar untuk saya cuba tawarkan kepada 93,000 pengundi di Alor Gajah ini walaupun saya mungkin datang dari yang generasi muda sedikit namun saya harap dapat beri tawaran masa depan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik UMNO Alor Gajah di Selandar di sini hari ini. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Rospandi Leman.
Mengulas lanjut, Shahril berkata, faktor itu bagaimanapun tidak akan melunturkan semangatnya untuk terus berusaha mengembalikan kerusi itu yang sebelum ini menjadi kubu kuat BN diwakili calon MCA sejak 1986 hingga 2018.
“Walaupun berdepan lawan yang hebat, segalanya akan ditentukan Allah sebab itu saya minta pengundi buatlah pilihan sebaik-baiknya menjelang 19 November ini dengan melihat parti yang saya wakili.
“Saya akan berbincang strategi kempen dengan kepimpinan peringkat bahagian untuk melihat apakah dinamika politik di sini,” katanya yang juga merupakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.
Ditanya apakah sentimen beliau sebagai calon luar yang mungkin dijadikan senjata pembangkang untuk melemahkan semangatnya, beliau berkata, ia terpulang kepada pengundi.
“Itu terpulang kepada pengundi, tetapi yang penting apakah yang dapat kita tawarkan demi masa depan masyarakat di sini,” katanya.
Ketika PRU14 pada 2018, kerusi Parlimen Alor Gajah diserahkan kepada Bersatu yang pada masa itu merupakan salah sebuah parti komponen PH sebelum Bersatu mengumumkan keluar PH pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton.
Mohd Redzuan menewaskan Wong Nai Chee (BN) dan Nazree Aris (Pas) dengan majoriti 6,980 undi. – MalaysiaGazette.