Datuk Mohd Nizar Zakaria

SIKAP Datuk Mohd Nizar Zakaria yang disenangi ramai sejak menjadi Ahli Parlimen Parit sejak 2008 memberi keyakinan kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi amanah mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Komitmen yang tinggi dan keberadaan dalam masyarakat memberi banyak kelebihan kepada beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mohd Nizar yang juga Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi memastikan kerusi Parlimen Parit terus di bawah lembayung biru.

Ustaz Mohd Nizar seorang figura yang terkenal sebagai salah seorang anak kapal MV Rachel Corrie yang ditahan oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF) semasa tiba di perairan untuk menghantar misi bantuan kemanusian ke Gaza Palestin pada 2010.

Atas semangat perjuangan yang kental itulah menjadikan Ustaz Mohd Nizar terus membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama sehabis baik demi kestabilan dan kemakmuran di Parlimen Parit.

Sebelum ini, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2018 selain pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang ketika itu beliau bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja pada 2013-2018.

Ustaz Mohd Nizar memiliki Ijazah Sarjana Pendidikan daripada Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Imam Bonjol, Padang Sumatera Barat, Indonesia.

Dalam PRU-14 lalu, beliau menang atas tiket BN meraih 14,035 undi dengan kemenangan majoriti sebanyak 6,320 undi menewaskan calon Pas, Dr Najiha Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.

Malam tadi (1 November 2022), Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN turut menampilkan wajah-wajah segar dan berpengalaman untuk menggalas amanah sebagai calon BN peringkat Parlimen.

BN juga menampilkan lebih 85 peratus calon-calon yang mempunyai kelayakan akademik, di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.

“Di hadapan saya ini adalah calon-calon, yang akan menggalas amanah besar, bagi kita membawa aspirasi rakyat dan mengembalikan kegemilangan negara.

“Ini adalah amanah maha berat, yang bukan hanya akan dihakimi oleh rakyat tetapi akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di akhirat kelak.

“Saya amat sedar, sementara kepentingan politik dalaman BN menjadi perkiraan dalam soal penentuan calon namun tuntutan memulihkan kesuraman negara dan mengangkatkan kembali agenda mensejahteraan rakyat adalah lebih tinggi daripada kepentingan politik individu dan kepartian,” kata Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO.

Justeru Ustaz Mohd Nizar dilihat antara benteng terbaik menafikan hasrat Pakatan Harapan untuk menjadikan Perak koridor baharu mereka kali ini. – MalaysiaGazette

Ahmad Fauzi Mustafa

Ahmad Fauzi Mustafa
Penganalisis Sosio Ekonomi & Politik Pusat Penyelidikan Strategik

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast