KUALA LUMPUR – Konsep ‘dengar’, ‘hayati’ dan ‘selesaikan’ merupakan ikrar Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sekiraya beliau diberi mandat oleh pegundi Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Kewangan itu berjanji akan berusaha sedaya upaya dalam membantu masyarakat di kawasan itu agar kemakmuran ditingkatkan lagi bagi keselesaan dan kesejahteraan penduduk di kawasan itu.
“Ramai yang sudah berkongsi kepada saya hasrat mereka, Insya-Allah saya yakin mampu melaksanakannya. Baik dari segi kebajikan, pendidikan, perniagaan mahu pun peluang pekerjaan kepada setiap segenap lapisan masyarakat terutama belia.
“Sudah tiba masa Kuala Selangor menyerlahkan potensi sebenarnya,” katanya menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Menteri Kewangan itu dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor turut berterima kasih kepada kepimpinan BN atas kepercayaan yang diberikan kepadanya dan menerima amanah tersebut dengan rendah hati.
Katanya, jika dipilih pada PRU15, beliau bersiap sedia menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen sebaik mungkin untuk rakyat Kuala Selangor.
Pada masa sama, beliau yakin jentera BN Kuala Selangor sudah bersedia untuk kembali menerima mandat dari rakyat.
“Tugas sudah bermula kita gandakan usaha agar memenangi hati dan kepercayaan serta keyakinan rakyat Kuala Selangor,” tambahnya. – MalaysiaGazette