Datuk Abdul Latif Bandi.

MERSING – ‘Bagai sireh pulang ke gagang’.

Itu ungkapan paling sesuai untuk calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Mersing, Datuk Abd Latif Bandi, 56, sebaik sahaja diumumkan untuk bertanding pada Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15).

Abd Latif ketika ditemui melahirkan rasa terkejut apabila namanya diumum sebagai calon tetapi pada masa sama terharu atas kepercayaan yang diberi oleh pucuk pimpinan parti UMNO.

“Memang mengejutkan kerana saya tidak terfikir untuk dicalonkan pada PRU15 ini kerana saya masih lagi dalam tempoh ‘bertenang’ selepas mahkamah mendapati saya tidak bersalah ke atas semua pertuduhan kes rasuah yang dikenakan.

“Saya dan keluarga telah melalui detik hitam selama beberapa tahun dan hari ini, selepas dibebaskan, saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menabur bakti kepada rakyat,” katanya.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau ini seterusnya memberitahu banyak perancangannya terhenti separuh jalan ekoran fitnah yang dilemparkan sehingga memaksa dirinya melepaskan jawatan Adun yang dimenangi pada PRU14.

“Saya sudah pandang ke depan tak nak fikir lagi perkara lepas dan sekarang tumpuan saya adalah menggalas mandat pucuk pimpinan parti untuk memenangi semula kerusi Parlimen Mersing.

“Kerusi Parlimen Mersing adalah milik UMNO yang sandang oleh
Datuk Dr Latif Ahmad selama lima penggal tetapi dia melompat ke parti Bersatu selepas PRU14.

“Itu urusan dia nak lompat ke parti mana pun saya tak mahu komen kerana dia bukan orang baru dalam UMNO. Apa yang penting, saya perlu menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin hingga beroleh kemenangan,” jelasnya.

Bercakap tentang sokongan rakyat, Abd Latif berkata, hubungannya dengan rakyat Mersing sentiasa terjalin baik sebagaimana dia menjadi ADUN sebelum ini.

“Penerimaan rakyat terhadap saya macam biasa dan saya tidak pernah rasa tersisih. Rakyat menerima saya seperti biasa dan ramai yang masih bertanya kabar selain bersalaman setiap kali terjumpa di mana-mana.

“Saya yakin rakyat khususnya pengundi di Mersing masih bersama saya dan insyaAllah, semua urusan akan dipermudahkanNya.

“Bukanlah semua orang senang dengan saya kerana biasalah adat dalam politik tetapi itu semua akan saya tangani dengan cara berhemah tanpa memburukkan sesiapa,” ujarnya lagi.

Abd Latif, yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri dilepas dan dibebaskan pada 6 Ogos tahun ini dari pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamaruddin Kamsun selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah kepads kes pendakwaan terhadap Abd Layuf, anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 30 dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 49.

Selepas dilepas dan dibebas dari tuduhan, Abd Latif bergiat aktif dalam pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan.

“Saya kini merupakan penasihat kepada Sahabat Mersing (Same) yang turut bergabung dengan lebih 50 NGO lain di Mersing yang terdiri daripada pelbagai aspek dan bidang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast