PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu mengambil tindakan segera terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengendalikan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden Malaysian International Humanitarian Welfare Foundation (MIHWF), Datuk M.Devman Segar berkata, Hakim Mahkamah Tinggi itu didakwa melanggar etika kehakiman kerana tidak mengisytiharkan penglibatannya dalam SRC.
“Hakim Nazlan ini tidak isytihar kepentingannya ketika menjadi Setiausaha Syarikat dan Peguam Am Maybank dan secara jelas langgar prinsip undang-undang serta etika kehakiman,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jelas Devman, pihaknya difahamkan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah menghantar kertas siasatan kepada Idrus Harun pada bulan lalu dan ia menjadi tanggungjawab Peguam Negara itu untuk membuat pendakwaan.
Namun beliau terkilan kerana tiada maklum balas dan alasan yang kukuh berikutan tindakan yang dilihat sengaja melengahkan pendakwaan tersebut.
Tambahnya, atas kesalahan itu, SPRM telah mencadangkan Mohd Nazlan didakwa mengikut Seksyen 220 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada 1 November, MIHWF telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menuntut desakan yang sama terhadap Peguam Negara agar bertindak secara telus dan tidak ‘melindungi’ Mohd Nazlan.
Laporan tersebut turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan segera terhadap kesemua dakwaan yang menimbulkan persoalan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Timbalan MIHWF, Datuk Hamidah Osman melahirkan penghargaan kepada Azam kerana berani dan telus menjalankan siasatan terhadap Mohd Nazlan.
Bagaimanapun, Hamidah berharap SPRM dapat memberi pencerahan mengenai isu berkenaan susulan kertas siasatan tersebut tular secara meluas.
Pada 23 April lalu, SPRM mengesahkan kertas siasatan telah dibuka terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.
Susulan itu, Mohd Nazlan pada 21 April lalu telah membuat laporan polis terhadap blog yang mengeluarkan artikel terbabit serta menafikan tuduhan yang didakwa berniat jahat, tidak berasas, bertujuan mencemarkan kredibilitinya dan menganggu sistem kehakiman. – MalaysiaGazette