Walaupun mengakui aura Datuk Seri Anwar Ibrahim namun majoriti warga Tambun masih berharap mereka diwakili oleh anak tempatan yang lebih memahami kehendak serta keperluan masyarakat tempatan.- Gambar hiasan.

TAMBUN – Walaupun mengakui aura Datuk Seri Anwar Ibrahim namun majoriti warga Tambun masih berharap mereka diwakili oleh anak tempatan yang lebih memahami kehendak serta keperluan masyarakat tempatan.

Seorang penjual kuih, Mohd Norazman Ismail, Parlimen Tambun sudah kembali menjadi ‘meriah’ dengan kehadiran pelbagai pihak berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Ini juga kerana calon-calon yang bakal berentap di Parlimen Tambun bukanlah calang-calang sebaliknya nama-nama besar dalam arena politik negara.

Bagaimanapun, kata Mohd Norazman, kebanyakan masyarakat Tambun berharap calon anak tempatan  tidak ramai teruja dengan kehadiran Anwar yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH).

Peniaga, Mohd Norazman Ismail. Foto MOHD ADZLAN, 03 NOVEMBER 2022.

“Ini negara demokrasi jadi sesiapa pun boleh bertanding di mana-mana tapi rata-rata penduduk mahu anak tempatan sebenarnya. Ramai hendakkan orang tempatan kerana mereka tahu apa masalah orang tempatan di sini. Isu orang miskin, yang berniaga sini serta perkara-perkara lain.

“Macam di sini, wakil kami sebelum ini Peja (Datuk Seri Faizal Azumu). Beliau tahu semua isu-isu kami. Orang juga senang dengan beliau beliau lahir sini, tahu dan kenal semua.

“Tapi sekarang ini undi juga sudah pecah tiga terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu. Mungkin Cina dan India boleh beri undi solid pada Anwar tapi undi orang Melayu ini pecah tiga,” katanya.

Kata Mohd Norazman yang juga sudah menjalankan perniagaan  lebih 30 tahun, sebagai pengundi, beliau juga hendak tahu apakah jenis sumbangan dan pembangunan yang hendak Anwar beri kepada penduduk Tambun.

“Sebagai pengundi, saya juga hendak tengok apa yang beliau boleh bagi pada kami. Macam di Port Dickson, kami tidak nampak apa-apa perubahan. Pada pandangan peribadi saya, Anwar ini ‘kejam’ diktator kerana bila berhajat hendakkan tempat itu, orang lain kena melepaskan kawasan itu untuknya.

“Kemudian beliau pindah tempat lain, kini lari pula ke Tambun. Ini contoh pemimpin yang tidak baik bagi saya. Tinggal begitu sahaja, pergi tempat lain. Ini saya cakap terus terang, kalau tempat itu satu tumpuan, tumpu situ sahaja.

“Ini tidak sampai satu penggal, sudah ‘cabut’. Tidak bagus begitu,” tegasnya.

Tambah Mohd Norazman lagi, banyak isu berbangkit yang perlu diselesaikan di sini terutamanya golongan B40 dan kemiskinan.

“Saya harap sangat sesiapa yang dapat menang, tolonglah fokus pada isu ini. Juga isu pendidikan, sini kita perlukan lebih banyak kelak-kelas tuisyen percuma,” ujarnya. 

ARTIKEL BERKAITAN

Tak mustahil ‘underdog’ tewaskan ‘giant’ Anwar, Faizal, kata Aminuddin

Baru-baru ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.

Pada PRU14, Peja yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas meraih 38,661 undi dengan majoriti 5,320 undi.

Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dipilih oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast