Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Bertemu Jentera BN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pejabat UMNO Sungai Buloh, Kota Damansara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merayu penduduk di situ memberinya peluang untuk menang kerusi berkenaan pada hari pengundian 19 November ini.

Kata Menteri Kesihatan itu, beliau telah merangka suatu perubahan untuk rakyat Sungai Buloh sebagai terkandung dalam manifestonya yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini.

Menurut beliau, dalam Manifesto Sungai Buloh itu mencakupi kos sara hidup, kos perumahan, akses ke Klinik Kesihatan, kesesakan lalu lintas, pengangkutan awam, banjir kilat, isu alam sekitar dan macam-macam lagi.

“Segala cadangan dan penyelesaianya ada dalam Manifesto Sungai Buloh yang saya akan lancarkan beberapa hari lagi. Ini bukan menidakkan pembangunan di kawasan luar bandar atau pedalaman. Ia tetap sangat penting tetapi pada masa sama jangan kita anggap semua yang tinggal di bandar ini senang.

“Kehidupan di bandar lagi mencabar dengan isu-isu seperti yang saya nyatakan itu dan terkandung dalam Manifesto Sungai Buloh,” katanya menerusi rakaman yang dimuat naik dalam Instagramnya hari ini.

Menurut Khairy, perjuangannya adalah untuk semua tidak kira kaum, agama atau latar belakang.

Yang penting, katanya, beliau akan menjaga dan membantu semua yang memerlukannya seperti mana usahanya memberi vaksin untuk menyelamatkan semua penduduk Malaysia daripada wabak Covid-19.

“Saya berikrar di Sungai Buloh, tiada siapa yang akan tertinggal. Jadi, saya harap pengundi Sungai Buloh memberi saya peluang. Saya akan kerja kuat untuk anda.

“Saya akan bawa suara Sungai Buloh dengan jelas dan lantang ke Parlimen sepertimana telah saya buat untuk penduduk Rembau.

“Saya harap kita dapat jumpa semasa kempen nanti. Saya mahu mendengar sendiri dari orang Sungai Buloh, apa yang penting dalam kehidupan anda kerana saya mahu jaga Sungai Buloh dengan baik,” katanya.

Khairy turut menjawab persoalan yang bermain difikiran rakyat Sungai Buloh kenapa beliau bertanding di kerusi itu.

“Ramai yang tanya kenapa KJ bertanding di Sungai Buloh? Ada yang jawab sebab di Sungai Buloh ada Hospital Sungai Buloh dan KJ adalah Menteri Kesihatan.

“Ya, memang betul di Sungai Buloh ada hospital, tapi banyak di kawasan lain ada hospital juga. Saya bangga dengan pengorbanan semua pihak di Hospital Sungai Buloh sebagai ground zero sewaktu pandemik Covid-19.

“Saya sangat bangga dan jika saya menang, saya akan berusaha untuk membawa penambahbaikan yang besar kepada Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, itu bukan satu-satunya sebab mengapa beliau datang ke Sungai Buloh.

“Saya sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di Rembau. Rembau adalah kawasan kampung dan juga kawasan pinggiran bandar dan saya telah buat yang terbaik untuk membangunkan Rembau.

“Terima kasih kepada semua pengundi Rembau atas sokongan anda. Saya minta maaf atas segala kekurangan saya. Saya benar-benar merindukan anda.

“Tetapi, bila saya melihat ke trend masa depan Malaysia, saya nampak semakin ramai rakyat Malaysia duduk di kawasan bandar dan berhijrah dari kawasan kampung seperti Rembau,” ujarnya.

Sekarang kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu, Malaysia sudah mencapai 77 peratus kadar urbanisasi.

“Saya tahu di kebanyakan kawasan bandar, BN tidak menjadi pilihan pengundi, tetapi jika BN mahu berubah ke arah yang lebih baik, kita mesti berani untuk menawarkan khidmat kita di kawasan bandar.

“Kita tidak boleh hanya menjadi wakil rakyat di luar bandar, kita perlu mewakili seluruh rakyat Malaysia dan berani menawarkan perkhidmatan di bandar.

“Apabila kita mewakili orang bandar, polisi kita juga akan lebih mengambil kira isu yang dihadapi oleh majoriti rakyat Malaysia iaitu penduduk kawasan bandar,” katanya.

Beliau menjelaskan, Sungai Buloh adalah kawasan yang memerlukan tawaran baru untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh orang bandar.

Ini kerana, demografi Sungai Buloh hampir mirip dengan komposisi kaum di seluruh Malaysia – MalaysiaGazette