ISKANDAR PUTERI – Setiausaha Agung UMNO menyangkal dakwaan wujud beberapa syarat akujanji yang memaksa semua calon Parlimen parti ini mengangkat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional menang dalam pilihan raya ini.
”Tak betul, tak betul,” kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tegasnya, kandungan surat akujanji langsung tidak ada perkataan seperti yang tertera dalam surat tular itu.
”Itu fitnah, tiada tiada. Apa yang ada hendaklah taat setia kepada parti, tiada sebut perkara-perkara itu (seperti yang tular).
”Mana ada. Siapa cakap? Tak betul,” katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung penularan satu surat akujanji yang memaksa calon-calon UMNO untuk mengangkat Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri selepas menghadiri Pelancaran Pengenalan Calon di Stadium Tertutup Educity Nusajaya malam tadi.
Beliau juga menafikan kandungan syarat akujanji yang mahu Kerajaan Pusat menggugurkan sebarang kes mahkamah melibatkan kepimpinan tertinggi parti ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, semua semua calon yang bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor sebelum ini ada menandatangani surat akujanji dan untuk PRU ini juga calon perlu menurunkan tandatangan.
“Ia bukan jadi suatu masalah kerana ini semua untuk kukuhkan kedudukan parti, sebab itu antaranya kita dapat melihat tiada lagi mana-mana calon menang yang melompat parti,” katanya.- MalaysiaGazette