Jamal Md Yunos

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) yang dinamakan bagi kerusi Parlimen Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, menafikan telah dikenakan perintah kebankrapan yang boleh menyebabkan pencalonannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditolak.

Dalam kenyataan hari ini, Jamal menyanggah dakwaan penyandang kerusi Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim, bahawa prosiding kebankrapannya telah bermula pada 30 Ogos lalu, sebaliknya pengurusan kes pertama prosiding kebankrapan itu akan bermula dan dijalankan pada 30 Nov nanti, dan peguamnya akan mencabar tindakan kebankrapan itu.

“Ketika ini saya sedang dalam proses merayu ke Mahkamah Rayuan berkenaan ganti rugi yang diperoleh Kok melalui penghakiman Mahkamah Tinggi pada 26 Julai lalu, dan peguam cara saya telah memaklumkan kepada peguam Kok mengenai serahan kendiri mereka kepada saya untuk notis kebankrapan agar ia dibuat pada 8 Nov ini,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata gesaan Kok yang juga bekas Menteri Industri Utama agar Suruhanjaya Pilihan Raya menolak pencalonan beliau adalah sama sekali pramatang, sia-sia serta salah dan merupakan tindakan terdesak untuk menggagalkan dirinya menjadi calon pilihan raya.

“Faktanya amat jelas, saya belum lagi dikenakan sebarang perintah kebankrapan selaras dengan Akta Insolvensi 1967,” katanya.

Oleh itu, katanya beliau percaya kelayakannya sebagai calon pilihan raya masih lagi sah pada waktu penamaan dan pengundian, sehinggalah satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan telah dilupuskan selaras dengan kelayakan pencalonan dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Media melaporkan Kok menghantar surat bantahan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berhubung penamaan Jamal sebagai calon BN di kerusi Parlimen Sungai Besar dan mendakwa Jamal belum menyelesaikan syarat penghakiman dalam saman difailkan terhadapnya, yang berkemungkinan menyebabkan pengisytiharan muflis.

Julai lalu, Kok memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Arief Emran Arifin dalam keputusannya membenarkan tuntutan saman Kok selaku plaintif terhadap Jamal, yang difailkan pada 6 April 2017. – BERNAMA