PASIR SALAK – Pengundi terutama golongan muda di Perak dinasihatkan supaya tidak tersalah pangkah seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahmad Kamil Yunos, 63, yang merupakan aktivis badan bukan sosial yang banyak membantu masyarakat terutama golongan miskin berkata, biarlah hanya tahun 2018 menjadi detik mereka ditipu dengan fitnah-fitnah yang ditabur pada pilihan raya tersebut.
Menurut beliau jika tersalah pilih pada PRU15 ini kesannya amat mendalam dan memerlukan tempoh lima tahun lagi bagi membuat pertukaran.
“Biarlah 2018 terkena pada golongan muda ini supaya jangan ditipu dengan fitnah.
“Ini kerana undi ini penentu, kalau kita kata mogok tidak mahu mengundi yang jadi masalah kita, sebab kalau ditakbir oleh orang lain macam mana?
“Jangan kita menyesal. Hang suka tak suka yang jasa sudah ada keluar mengundi jangan kita takut hendak mengundi. Kalau kita salah undi maka menanggunglah kita, tunggu lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau yang ditemui di Kampong Gajah di sini berkata, pengundi muda yang tidak pernah bergelumang dengan politik perlu mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman untuk membuat keputusan yang tepat.
Mereka perlu menilai dahulu pihak yang ingin dipilih sama ada boleh membina dan membangunkan negara atau tidak.
“Pada saya sebolehnya, oleh kerana tidak bergelumang dengan politik tiba-tiba mengundi lebih baik tengok dulu realiti siapa yang boleh membina negara pada masa akan datang.
“Memang masa kempen ini semua boleh tapi lepas pilihan raya yang jadi mangsa adalah generasi yang ini.
“Dengar, nilai reasonable atau tidak. Tidak ada perkara yang aku cakap aku boleh dapat, Allah menentukan segalanya,” katanya memberi nasihat.
Ahmad Kamil berkata, selepas situasi yang berlaku kepada negera sebelum ini pengundi perlu melihat realiti dan kenyataan yang boleh dijadikan pedoman untuk memangkah siapa yang hendak diundi nanti.
Bagi pengundi muda Zulhusni Zamanhuri, 28, kedatangan PRU15 sememangnya ditunggu-tunggu oleh beliau.
Ini adalah kali kedua beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara untuk memilih pemimpin dan kerajaan.
Setakat ini menurut pemilik kedai bundle itu dia berpuashati dengan wakil rakyat daripada Barisan Nasional yang dipilih pada 2018.
“Insya-Allah sudah bersedia. Itu tanggungjawab kita masing-masing untuk mengundi siapa yang berhak menjadi wakil rakyat.
“Setakat ini alhamdullilah calon Barisan Nasional yang menjadi wakil rakyat di sini telah melaksanakan tanggungjawabnya. Bermacam-macam program dilakukan di sini.
“Selama BN mentadbir Kampung Gajah ini memang baik. Kita hanya mahu rakyat terbela. Apa yang rakyat minta kepada wakil rakyat boleh ditunaikan,” kata Zulhusni.
Seorang suri rumah Fauziah Ismail, 50 pula berkata, setiap kali pilihan raya berlangsung dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab tersebut.
Menurut Fauziah dia akan memilih calon yang boleh membawa negara ke arah pembangunan dan kemajuan.
“Nak pergi ke pusat mengundi pun kenderaan sudah ada. Lima tahun lepas pun saya mengundi.
“Saya pilih calon yang boleh menjaga kebajikan rakyat dan mempunyai perdana menteri yang boleh dibanggakan,” kata Fauziah.
Pada PRU14 calon BN Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin memenangi Dewan Udangan Negeri (DUN) Kampong Gajah dan beliau akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15.
DUN Kampong Gajah terletak di bawah Parlimen Pasir Salak yang turut dimenangi oleh BN melalui Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada 2018.
Kali ini BN meletakkan Khairul Azwan Harun untuk merebut semula kerusi itu pada PRU15 yang akan berlangsung pada 20 November ini.- MalaysiaGazette