KUALA LUMPUR – Terma perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan positif pada September 2022 dengan meningkat 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 113.0 mata dan 6.8 peratus tahun ke tahun daripada 105.9 mata bagi tempoh sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negara September 2022 hari ini, jabatan itu berkata perkembangan itu didorong oleh kenaikan indeks minyak galian (+7.6 peratus), bahan kimia (+0.4 peratus) an alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.2 peratus).
Indeks nilai seunit eksport dan import juga mencatat aliran meningkat, masing-masing menokok 1.0 peratus dan 0.03 peratus bulan ke bulan.
“Indeks volum eksport turut meningkat 1.1 peratus yang disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+13.5 pratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+9.2 peratus) dan bahan kimia (+2.5 peratus),” katanya.
Selain itu, indeks volum eksport pelarasan bermusim turun 4.9 peratus pada September 2022 daripada 188.7 mata kepada 179.5 mata.
Dalam pada itu, indeks volum import susut 9.4 peratus pada September 2022 berbanding bulan sebelumnya berikutan penurunan indeks minyak galian (-29.8 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-14.4 peratus) dan bahan kimia (-6.6 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim turut turun 8.2 peratus daripada 213.4 mata kepada 195.8 mata.
“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan voum import masing-masing berkembang 10.3 peratus dan 20.6 peratus,” katanya. – BERNAMA