BAGAN DATUK – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menonjolkan manfaat serta kebaikan BN.
Pengerusi BN itu berkata, ini akan membolehkan pengundi menilai dan memilih siapa yang mereka mahu untuk memimpin negara.
“Zaman untuk menyebarkan fitnah atau tohmahan dan pembohongan terhadap karakter seseorang mahu pun parti sudah lama berlalu.
“Kecaman, kutukan atau memburuk-burukkan individu atau parti lawan adalah sesuatu yang berada di luar zaman kematangan berpolitik dan pengundi sendiri mengetahui cara itu sudah ketinggalan zaman.
“Fokus hanya tentang kebaikan diri dan parti. Rakyat tahu menilai apa yang sedang diperkatakan ini,” katanya yang juga Presiden UMNO pada sidang media di kediamaannya, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid akan berhadapan dengan pertembungan empat penjuru dalam mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada PRU15. – MalaysiaGazette