Calon Barisan Nasional (BN) P.055 Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2022.

LENGGONG –  Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah meminta pihak berkuasa menyelesaikan segera siasatan berkaitan penyebaran surat aku janji palsu.

Shamsul Anuar berkata, pihak tersebut perlu dikenakan tindakan undang-undang dengan segera kerana menyebarkan fitnah yang mengganggu-gugat kestabilan dan menimbulkan imej tidak baik kepada parti.

“Saya harap mereka menyiasat semua laman media yang menyebarkan maklumat dan perkara yang tidak benar ini.

“Saya meminta agensi penguatkuasa menggunakan peraturan yang mereka ada, siasatlah.

“Dan bawa ke muka pengadilan mana-mana pihak yang melakukan fitnah yang tidak benar,” katanya.

Minggu lalu tular kertas aku janji palsu kononnya meminta calon untuk kekal menyokong segala tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ini termasuk mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.

Kertas aku janji yang tular tersebut menggunakan kepala surat UMNO dan tertera nama Shamsul Anuar.

Pegawai Khas beliau, Datuk Azizan Md Zin telah membuat laporan polis berkaitan penyebaran aku janji itu minggu lalu.

Shamsul Anuar tidak mahu fitnah menjadi kempen parti politik menjatuhkan pihak lawan.

Beliau yang menjadi mangsa fitnah tersebut berkata, pihak lawan sepatutnya mengguna dan mengamalkan demokrasi dengan bijaksana.

Calon Barisan Nasional (BN) N.04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama calon Barisan Nasional (BN) P.055 Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan calon Barisan Nasional (BN) N.03 Kenering, Rohaida Mohamad Yaakob hadir bagi menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2022.

Pengarah Komunikasi BN itu juga meminta supaya rakyat dan pengundi mendapatkan berita mengenai parti itu daripada sumber yang boleh dipercayai seperti laman rasmi parti itu.

“Mengamalkan politik fitnah ini bukan budaya kita. Sebab itu kita harap hentikan perkara ini. Amalkan pendekatan politik yang bijaksana kerana rakyat pandai membuat penilaian.

“Kepada rakyat Malaysia apa sahaja berkaitan dengan calon dan BN harap rujuk kepada laman rasmi parti. Itu yang tepat dan betul. Ini yang saya harap pada rakyat Malaysia,” kata Shamsul Anuar.

Beliau ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Lenggong yang berlangsung di Pejabat Tanah Daerah dan Tanah Lenggong hari ini.

Shamsul Anuar yang mempertahan kerusi itu akan ditentang oleh calon Pakatan Harapan, Jurey Latiff Mohd Rosli dan calon Perikatan Nasional, Muhammad Rifaat Razman.

“Saya percaya rakyat bijak untuk menilai mana yang benar dan tidak. Sebab itu saya berharap pimpinan dan penyokong BN faham bahawa hari ini berhati-hati fitnah berita tidak benar menjadi mainan dan salah satu daripada pendekanan yang dilakukan oleh pihak lawan.

“Sebab itu berhati-hati apa sahaja berkaitan dengan parti, rujuk sumber sah dan tepat. Saya nasihatkan parti lawan kita mestilah mengguna dan mengamalkan demokrasi dengan bijaksana,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast