GOMBAK – Pertandingan lima penjuru di kerusi P.098 Gombak bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hampir pasti apabila penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama empat pencabar lain menghantar borang pencalonan masing-masing di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini, pagi ini.
Empat pencabar lain termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (Pakatan Harapan); Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional); Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Putra) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad akan memberi saingan dalam pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun seorang lagi calon Bebas, Diva Azwan Ali yang sebelum ini mengumumkan mahu bertembung dengan abang kandungnya, Mohamad Azmin bagaimana tidak muncul pada hari penamaan calon, hari ini.
Terdahulu Aziz Jamaludin yang juga calon Gerakan Tanah Air (GTA) antara saingan Azmin paling awal hadir ke Pusat Penamaan Calon Parlimen Gombak di SMK Sungai Pusu, di sini, kira-kira jam 7.45 pagi tadi.
Kemudian disusuli calon Bebas, Zulkifli yang juga Presiden Parti Bahtera Sejahtera hadir kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
Selang 15 minit kemudian, pencabar utama Azmin, Amirudin yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna biru muda ditemani isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad tiba di pusat penamaan calon itu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Manakala penyandang Parlimen Gombak, Azmin yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin pula tiba bersama penyokong Perikatan Nasional (PN) kira-kira 8.40 pagi tadi.
Manakala pesaing terakhir Azmin yang terakhir iaitu Megat Zulkarnain daripada UMNO pula yang memakai baju Melayu lengkap serba biru tiba di pusat penamaan calon itu kira-kira jam 8.50 pagi tadi.
Kesemua lima calon mula menghantar borang pencalonan masing-masing selepas Pusat Penamaan Calon Parlimen Gombak di SMK Sg Pusu mula dibuka tepat jam 9 pagi tadi.
Sebelum ini, Mohamed Azmin memenangi kerusi P098 atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN, Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan Pas, Khairil Nizam.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal dengan bertanding atas tiket PKR sebelum keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tahun lalu. – MalaysiaGazette