LENGGONG – Barisan Nasional (BN) mempunyai strategi untuk menewaskan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun.
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bukan hanya Pakatan Harapan (PH) mempunyai strategi untuk menang di kawasan ‘hangat’ tersebut.
Saarani yang merupakan calon BN bagi Dewan Undangan negeri (DUN) Kota Tampan berkata, calon BN boleh mengalahkan Anwar di kerusi tersebut .
“Menang. Sekarang empat penjuru bertanding di sana (Tambun). Kita pun ada strategi kita.
“Jadi mereka jangan ingat strategi mereka sahaja. saya pun ada strategi untuk memenangi hati pengundi di Tambun,” katanya.
Beliau ditemui selepas proses penamaan calon bagi Parlimen Lenggong yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong selesai.
Beliau yang mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2018 akan ditentang oleh Mohd Sabri Abdul Manaf, 39 (PH) dan Mohd Jamil Yahya, 58 (PN).
Saarani berkata, strategi menguar-uarkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri tidak akan membantu Anwar dan Pakatan Harapan untuk menang di Perak.
Beliau menegaskan PRU15 bukan kali pertama Anwar menawarkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.
Laungan itu telah diulang-ulang setiap kali pilihan raya berlangsung kecuali pada 2018 semasa beliau menjalani hukuman penjara.
“Kali ini dia ulang lagu yang sama. Saya percaya BN ada perdana menteri yang kuat dan hebat. Kekuatan perdana menteri bukan setakat pada cara berpidato semata-mata, bukan setakat untuk provokasi semata-mata.
“Tapi yang lebih penting kemampuan untuk bekerja, mempunyai wawasan dan ada team yang kuat untuk membangunkan negara dan negeri.
“Jadi rakyat jangan tertipu dengan kepetahan orang yang bercakap sahaja. Kena lihat track rekod kita bagaimana kita menjaga negara dan negeri dengan baik. Anwar bukan pilihan tepat untuk jadi PM,” katanya.
Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Anwar, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN); Abdul Rahim Tahir (PEJUANG) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN).-MalaysiaGazette