KUALA LUMPUR – Penampilan dua calon bertanding di kerusi Parlimen Batu menjadi tumpuan ramai di sekitar kawasan penamaan calon di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, Jalan Ipoh, di sini, hari ini.
Peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kassim yang mengenakan gaun hitam kelihatan ceria tiba seawal jam 7.20 pagi di kawasan tersebut.
“Saya selalu awal, saya benci datang lewat,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Siti Kasim.
Sekumpulan penyokong Siti Kasim yang terdiri daripada Orang Asli dari Gua Musang tiba kemudian untuk memberi sokongan kepadanya.
Ditemui pemberita selepas selesai penamaan calon, Siti Kasim berkata, manifestonya menjurus kepada pemisahan antara agama dan kerajaan.
“Saya memberitahu orang ramai bahawa boleh untuk menuntut perkara itu daripada ahli politik dan kita tidak seharusnya membenarkan ahli politik menggunakan agama sebagai alat politik.
“(Dengan itu) kita mengembalikan semula pengurusan agama kepada Sultan mengikut peruntukan undang-undang kerana mengikut perlembagaan ia adalah begitu, malangnya sudah lama kerajaan persekutuan menggunakan agama bagi faedah mereka.
“Orang ramai mungkin mempersoalkan bagaimana dengan penduduk setempat, tetapi kita lihat tindakan ini akan menyebabkan kesan domino di atas kepada yang di bawah. Masalah sekarang adalah di peringkat atasan, oleh itu kita perlu membersihkan orang di atas dan seterusnya turun kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, ketibaan seorang lagi calon bebas, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin atau lebih dikenali dengan panggilan Cleopatra turut mendapat perhatian ramai.
Pempengaruh media sosial itu berkata, ingin membantu menyelesaikan permasalahan penduduk di kawasan parlimen Batu terutamanya golongan B40.
Sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat, beliau bertekad untuk meningkatkan kualiti pendidikan, aktiviti ekonomi, kebajikan, infrastruktur, keselamatan dan kesejahteraan penduduk selain menjadi mata dan telinga rakyat.
“Saya juga mempunyai keazaman dalam memperjuangkan masa depan generasi muda dengan lebih baik,” ujarnya yang juga seorang usahawan.
Selain Siti Kasim dan Cleopatra akan berdepan dengan lapan lagi pesaing iaitu P. Prabakaran dari Pakatan Harapan (PH), Tian Chua (Bebas), Datuk A. Kohilan Pillay (BN), Azhar Yahya (PN), P. Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (Bebas), Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia – PRM) dan Wan Azliana Wan Adnan (GTA). – MalaysiaGazette