BAGAN DATUK – Kerusi Parlimen Bagan Datuk P075 menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan satu calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini juga merupakan situasi pertama bagi bekas penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan empat pertembungan yang sudah bertanding di kerusi itu untuk enam penggal sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bagan Datuk P075, Ahmad Ghopran Yeop Hamzah di luar Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini hari ini sekitar jam 11.30 tadi.

“Kesemua empat calon telah menyerahkan kertas pencalonan mengikut masa yang ditetapkan. Setelah selesai di semak, tidak ada calon yang ditolak permohonannya,” katanya sebentar tadi.

Calon-calon lain ialah Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (PH), Dr Muhammad Faiz Na’aman dan Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail (bebas).

Pada PRU14, Ahmad Zahid  memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 5,073 dalam pertembungan tiga penjuru.

Untuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rungkup dan Hutan Melintang menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Bagi DUN Rungkup, penyandang kerusi itu, Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN) ditentang oleh Mohd. Mokheri Jalil (PN) dan Ahmad Munzirie Ahmad Kabir (PH).

UN Hutan Melintang menyaksikan penyandangnya, Datuk Khairuddin Termizi (BN) dicabar oleh Khairuj Nizam Marsom (PN) dan S. Vasanthi (PH).

Sementara itu seperti jangkaan anak bekas Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik yang juga bekas Ahli Parlimen Benut bertanding atas tiket bebas setelah permohonannya bertanding atas tiket PH tidak kesampaian.

Dalam pada itu ketika bercakap dengan pemberita, calon PH, Shamsul Iskandar yakin beliau dalam mengalahkan penyandang kerusi itu, Ahmad Zahid pada PRU kali.

“Rakyat Bagan Datuk beri saya peluang, insya Allah kita boleh cipta sejarah. Ramai rakyat di luar sana yang mahukan perubahan yang bosan dengan penyandang yang terpalit dengan pelbagai kes rasuah termasuklah terbaru, LCS.

“Kita perlu bangkit dan bina Bagan Datuk yang baharu, itu janji saya kepada pengundi-pengundi di sini yang mengharapkan perubahan selepas 27 tahun ini,” ujarnya.

Ketika bercakap dengan calon bebas, kata Mohammed Tawfik, beliau hanya bertanding untuk mengalahkan Ahmad Zahid.

Terdahulu, ketika tiba di pusat penamaan calon, Ahmad Zahid sempat bermesra dan menyuntik semangat kepada lebih 1,000 penyokong BN yang hadir menyokongnya

Ketika berucap di hadapan penyokong, Ahmad Zahid meminta pengundi di kawasan itu agar terus memberi mandat kepada BN bagi membolehkan parti berkenaan meneruskan kesinambungan pembangunan, kerusi ini sudah di sandang beliau sejak 1995. -MalaysiaGazette