GOMBAK – Kerusi P098 Gombak menyaksikan pertandingan lima penjuru antara penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan empat pencabar lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Setelah tempoh penamaan ditutup jam 10 pagi dan proses bantahan sehingga jam 10.30 pagi tadi menyaksikan hanya lima individu sahaja yang menghantar borang pencalonan bagi Parlimen Gombak.
Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Parlimen Gombak, Nor Azlina Abd Aziz yang mengumumkan perkara itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, di sini, jam 10.45 pagi ini.
Pada sesi penamaan calon itu Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) bakal berentap dengan Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.
Manakala tiga lagi pencabar Mohamed Azmin ialah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO); Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Putra) dan seorang calon Bebas, Zulkifli Ahmad yang akan merampas kerusi panas itu.
Seorang lagi calon bebas, Azwan Ali yang sebelum ini mengumumkan mahu bertembung dengan abang kandung bagaimana tidak menghantar borang pencalonan.
Terdahulu Aziz Jamaludin yang juga calon Gerakan Tanah Air (GTA) antara saingan Azmin paling awal hadir ke Pusat Penamaan Calon Parlimen Gombak di SMK Sungai Pusu, di sini, kira-kira jam 7.45 pagi tadi.
Kemudian disusuli calon bebas, Zulkifli yang juga Presiden Parti Bahtera Sejahtera hadir kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
Selang 15 minit kemudian, pencabar utama Azmin, Amirudin yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna biru muda ditemani isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad tiba di pusat penamaan calon itu kira-kira jam 8.30 pagi tadi.
Manakala penyandang Parlimen Gombak, Azmin yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin pula tiba bersama penyokong Perikatan Nasional (PN) kira-kira 8.40 pagi tadi.
Manakala pesaing terakhir Azmin yang terakhir iaitu Megat Zulkarnain daripada UMNO pula yang memakai baju Melayu lengkap serba biru tiba di pusat penamaan calon itu kira-kira jam 8.50 pagi tadi.
Kesemua lima calon mula menghantar borang pencalonan masing-masing selepas Pusat Penamaan Calon Parlimen Gombak di SMK Sg Pusu mula dibuka tepat jam 9 pagi tadi.
Sebelum ini, Mohamed Azmin memenangi kerusi P098 atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN, Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan Pas, Khairil Nizam.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi ahli Parlimen Gombak selama tiga penggal atas tiket PKR sebelum keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tahun lalu. – MalaysiaGazette