REMBAU – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Nazree Yunus yakin dengan keupayaannya membuat kejutan besar untuk menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di sini.
Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan itu berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, antara tumpuan khusus yang akan diberikan ketika berkempen adalah tentang soal pendidikan, ekonomi dan pekerjaan melibatkan golongan muda.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Rembau itu juga bertekad untuk membawa perubahan di kawasan Parlimen ini dengan menjadikan politik sebagai ruang melakukan kebaikan khususnya kepada golongan muda dan masyarakat.
“Insya-Allah kita berusaha sedaya mungkin, kita panjat doa kepada Allah Taala, saya yakin dengan kebijakan rakyat dan media massa dengan melaporkan bentuk-bentuk kempen yang betul dan tepat saya yakin rakyat, anak muda dan kaum wanita boleh menilai dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Rembau di sini, hari ini.
Nazree, 38, akan bersaing dengan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Jufitri Joha dari Pakatan Harapan (PH), S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ramly Awaluddin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Beliau pernah bertanding di kerusi Parlimen Kuala Pilah di bawah tiket PKR pada PRU-13 namun tewas kepada calon BN, Datuk Seri Hasan Malek.
Nazree juga tidak gentar berdepan dengan nama besar seperti Mohamad yang berpengalaman sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan serta merupakan pemimpin nombor dua dalam BN dan UMNO.
Beliau percaya rakyat akan menilai kebolehannya serta kemampuan PN untuk membawa Rembau dan Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.
“Kebijakan rakyat itu akan menentukan sesuatu yang lebih besar, bukan soal nama besar, tetapi satu keputusan besar.
“Saya yakin rakyat, anak muda dan wanita akan pro kepada kebenaran, integriti, antirasuah dan juga pembangunan dan mesti pro kepada kepada pimpinan muda,” jelasnya.
Nazree yang dibesarkan di Senawang menerima pendidikan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah Sains Gunaan dengan Pendidikan Islam di Universiti Malaya (UM).
Beliau turut memegang ijazah Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah di universiti yang sama.
Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu juga merupakan seorang usahawan pendidikan al-Quran di bawah Kumpulan Al-Baghdadi. –