Calon Barisan Nasional P.107, Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) ketika berbual bersama Calon Perikatan Nasional P.107, Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin sebelum menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – “Satu undi untuk saya adalah undi untuk KJ,” tegas  Khairy Jamaluddin.

Penegasan oleh Khairy atau lebih mesra disapa sebagai KJ itu bagi  bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengundi di kawasan Parlimen Sungai Buloh.

Menurutnya, naratif berkenaan perlu dijelaskan selepas dakwaan timbul  mengatakan pengundi yang memilih Khairy bermakna memilih Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Ahmad Hamidi sebagai Perdana Menteri.

“Saya mesti perjelaskan perkara ini sekarang bahawa satu undi untuk KJ di Sungai Buloh adalah undi untuk KJ.

“Dan saya akan mendukung Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri Barisan Nasional seperti mana yang diumumkan Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri. jadi tidak ada kekeliruan di situ,” katanya kepada pemberita selepas Penamaan Calon Parlimen Sungai Buloh selesai di Penabat Daerah dan Tanah Petaling, hari ini.

Pagi tadi, penyandang kerusi berkenaan, Sivarasa Rasiah yang muncul di Pusat Penamaan Calon (PPC) Sungai Buloh mendakwa satu undi untuk Khairy di Parlimen itu bermakna satu undi untuk Ahmad Zahid.

Khairy menyifatkan pilihan raya kali ini bakal menjadi pertandingan paling sengit sepanjang karier politiknya.

Namun, beliau berharap pengundi kawasan itu memberinya peluang untuk menjadi wakil rakyat, berkhidmat bukan sahaja untuk kawasan berkenaan malah wakil suara Sungai Buloh di peringkat nasional.

“Ini pertandingan sangat sengit bagi saya walau bagaimanapun saya mengalu-alikan cabaran ini. Saya teruja untuk bertemu dengan pengundi Sungai Buloh dan saya harap mereka beri saya peluang jelaskan rancangan saya untuk Sungai Buloh, perkenalkan diri saya dan mewakili Sungai Buloh.

“Saya akui cabaran saya di sini tidak mudah, tidak sekali dan mungkin akan menjadi yang paling sengit sepanjang perjalanan karier politik saya

“Saya tidak lihat ini satu kelebihan dan saya nak bertanding ni di kawasan bandar selepas berad di Rembau sebelum ini. Sekarang saya datang ke kawasan yang BN kalah tiga penggal.  Saya harap pengundi Sungai Buloh beri saya peluang,” ujarnya.

Ditanya tentang dakwaan, meletakkannya di Sungai Buloh sebagai sabotaj menamatkan karier politiknya, beliau menjawab “saya tak bersedia untuk ke arah itu. Bukan hari ini”.

Mengulas tentang manifesto khusus buat Sungai Buloh, Menteri Kesihatan berkenaan berkata, ia akan diumum pada minggu depan.

Beliau berkata, manifesto khusus tersebut merangkumi strategi menyeluruh di Sungai Buloh dan visinya terhadap pembangunan Malaysia secara holistik.

“Ia akanmerangkumi strategi menyeluruh di Sungai Buloh dan visi saya untuk Malaysia bukan hanya Sungai Buloh.

“Saya harap dapat berkhidmat kepada rakyat di Sungai Buloh tapi saya juga berharap rakyat Sungai Buloh bantu saya berkhidmat untuk negara,” katanya lagi.-

SPR hari ini mengesahkan Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan tujuh penjuru pertandingan.- MalaysiaGazette