Tengku Adnan melancarkan Tekad Ku Nan untuk Putrajaya demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

PUTRAJAYA – Penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berdepan lima lagi calon pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar.

“Bagi Parlimen Putrajaya, seramai enam calon menghantar borang pencalonan dan tiada calon yang ditolak borang pencalonannya,” kata Shamshul.

Calon pertama yang menghantar borang adalah Tengku Adnan daripada Barisan Nasional (BN) pada jam 9 pagi diikuti Datuk Dr Radzi Jidin (Perikatan Nasional) tiga minit kemudian, Samsudin Mohamad Fauzi selang dua minit selepas itu.

Seorang lagi calon bebas, Lim Fice Bee menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.08 pagi disusuli Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dari Pakatan Harapan dua minit kemudian dan calon Pejuang, Datuk Mohd Rosli Ramli pada jam 9.14 pagi.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang merupakan calon nombor satu berkata, beliau tidak menyangka akan berdepan dengan lima pencabar lain.

“Yang terserlah barangkali adalah daripada PN (Perikatan Nasional).

“Saya pun terkejut enam penjuru sebab sebelum ini hanya satu lawan satu, tapi kali enam tapi tak apa. Ini semua hak masing-masing. Tapi siapa yang boleh beri keselesaan kepada rakyat,” kata Tengku Adnan selepas selesai menghantar borang pencalonannya.

Tengku Adnan adalah penyandang kerusi Parlimen Putrajaya sejak 2004. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast