Neow Choo Seong
Neow Choo Seong

TAIPING – Satu ketika dahulu, sebut sahaja Taiping bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi orang asing juga suka ke sana kerana tempat ini adalah destinasi pelancongan, kaya dengan warisan sejarahnya selain syurga makanan.

Namun sejak DAP menguasai Parlimen Taiping selama hampir 15 tahun ini, kemeriahan tempat ini semakin suram.

Jadi, calon BN Parlimen Taiping, Neow Choo Seong mahu mengembalikan semula kehebatan Taiping jika diberi komponen parti ini diberi mandat.

“Saya ingat ketika saya kecil-kecil dulu, tempat ini sungguh meriah, jangan kata meriah sahaja sebaliknya kami semua hidup bersatu dan saling hormat menghormati serta menerima semua (kaum) dengan seadanya. Didikan dan sifat itu terus kekal sehingga kini.

“Taiping mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan, terutama dari segi industri pelancongan yang dapat menjana ekonomi setempat dan menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarat tempatan.

“Tempat kita ini indah dari segi pelancongan, besar sungguh potensinya dalam bidang pelancongan. Dari segi pembangunan infrastruktur, iaitu dalam pemuliharaan dan pemeliharaan bandar warisan Taiping.

“Dari segi warisan, saya tidak perlu cakap betapa kayanya kita dengan sejarah Taiping itu sendiri. Seingat saya tidak ada apa-apa yang telah ‘revitalise’ seperti Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping, Bukit Larut dan sebagainya terutamanya dalam bab kemudahan serta pengurusan.

“DAP walaupun sudah kuasai tempat ini sejak 15 tahun, tiga penggal namun apakah peranan mereka dalam menonjolkan kawasan ini? Taiping sudah tidak meriah lagi, semakin hari semakin suram,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon Barisan Nasional (BN) P.060 Taiping, Neow Choo Seong bersama calon Barisan Nasional (BN) N.16 Kamunting, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie menyantuni penduduk warga cina dan india sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sekitar jalan Taiping, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 06 NOVEMBER 2022.

Menurut Neow lagi, bukan sahaja pembangunan di Taiping terbantut sebaliknya isu-isu melibatkan masyarakat setempat juga semakin seperti tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Banyak yang sudah berubah di sini. Pelbagai isu meruncing sudah tidak diberikan perhatian sebaliknya lebih banyak politiking oleh pemimpin yang diberikan kepercayaan dan mandat.

“Wakil rakyat yang diundi rakyat dengan harapan besar ini tidak pula menunjukan kesungguhan seperti di pentas politik, kita tidak nampak pembangunan yang mampan dan perancangan jitu untuk membangunkan sosio-ekonomi bandar Taiping ini,” ujarnya.

Untuk makluman, Pada PRU14, DAP menang besar bukan sahaja di Taiping sebaliknya enam kerusi Parlimen lain termasuklah Ipoh Timor, Ipoh Barat, Kampar, Batu Gajah, Teluk Intan dan Beruas serta 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast