Calon BN DUN Dong,Fadzli Kamal bersama ahli kariah Masjid Sungai Pasu, Raub malam tadi.

RAUB – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong, Fadzli Kamal berjanji untuk berusaha sebaik mungkin sekiranya terpilih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub itu juga melahirkan rasa terharu dengan kesediaan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin yang banyak membantunya.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Shahiruddin yang berjiwa besar dan berlapang dada sudi memberi laluan dan membantu saya,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya baru-baru ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi BN Pahang.

“Saya percaya peluang ini hadir dengan tanggungjawab dan tugas yang besar. Saya akan berusaha memberikan yang terbaik demi manfaat seluruh warga Dong. Saya mohon doa dan sokongan daripada semua,” ujarnya.

Fadzli akan berdepan dengan Mohd Abd Jawaad Abd Ghafar @ Razmin (Pakatan Harapan-Amanah) dan Tengku Shah Amir Tengku Perang (Perikatan Nasional – Pas) pada PRU15 ini.- MalaysiaGazette