PANDAN – Dua calon yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rafizi Ramli dan Tan Sri Ong Tee Keat bertembung bertembung di asar Pagi Taman Muda, Pandan semasa berkempen, hari ini.
Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden PKR berkata: “Tan Sri ada kelebihan kerana dia sudah lama sejak 1999 lagi, jadi ramai pengundi yang lebih berusia lagi kenal Tee Keat tapi saya ada kelebihan lain dengan pengundi muda.
“Tapi kita tidak tahu dengan pengundi pertama kali ini,” katanya yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, Tee Keat yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, beliau hanya berkempen di pasar ini dan kebetulan bertembung dengan Rafizi.
“Saya bukan nak tumpang semangkuk, tapi saya nak salam dengan Rafizi yang semalam pun kami berdua sempat berjumpa.
“Ini adalah pengalaman yang baik dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi,” katanya sebelum beredar.
Rafizi turut mencelah ini akan menjadi perebutan kerusi yang sangat sengit di Pandan.
“Saya pun nak ucapkan semalam maju jaya kepada Tee Keat, dan dia telah buat banyak kepada pengundi Pandan dan saya nak rakamkan penghargaan itu,” ujarnya.
Parlimen Pandan sekali lagi menyaksikan pertempuran sengit apabila lima parti politik bersaing merebut kerusi panas itu pada PRU15, 19 November ini.
Rafizi dan Tee Keat, satu lagi nama besar, Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee yang mewakili Barisan Nasional (BN) akan menyertai persaingan tersebut.
Dua lagi pencabar adalah Muhammad Farique Zubir Albakri mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Nadia Hanafiah daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – MalaysiaGazette