Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan memperjelaskan aset bersih bernilai hampir RM19 juta yang dimilikinya dalam satu sidang media esok.

Penjelasan tersebut dibuat berikutan terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan jumlah harta yang dimiliki calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Pandan itu.

“Kecoh geng-geng Barisan Nasional dan Perikatan Nasional bising pasal pengisytiharan harta.

“Ada pulak geng-geng bajet tak partisan (tapi terang-terang penyokong parti-parti sakau) yang sembang macam pakar menilai syarikat,” katanya.

Menurut Rafizi, segala serangan terhadap beliau berkaitan jumlah aset yang dimilikinya menonjolkan dua perkara.

Menurutnya, pihak tersebut memperlihatkan sikap hipokrasi kerana tidak langsung tidak bersuara mengenai kegagalan calon-calon BN dan PN mengisytiharkan harta.

Beliau berkata, pertikaian mengenai asetnya itu juga menunjukkan rakyat Malaysia sangat tidak memahami mengenai ekonomi digital dan potensi menghasilkan peluang pekerjaan yang membayar gaji tinggi kepada anak-anak muda

“Insya Allah saya akan huraikan satu persatu esok dalam sidang media harian jam 1130 pagi. Ikuti di laman Facebook saya.

“Saya juga sudah sediakan satu video Tiktok mengenai isu ini.
Sampai kiamat pun kita tidak akan dapat melihat pengisytiharan harta dari BN/PN,” kata Rafizi.

Calon Parlimen Pandan itu menjadi ahli politik pertama mengisytiharkan harta dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta sempena Pilihan Raya Umum ke-15.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-15 untuk berbuat demikian.

Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya.

Jumlah ini, termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

Beberapa pihak mempertikaikan keupayaan syarikat Invoke Solution yang meraih keuntungan semasa Rafizi menjadi ahli politik menimbulkan tanda tanya.

Pemerhati politik, Lim Sian See berkata, ini kerana, Invoke mengalami kerugian RM1 juta pada tahun 2020 dan aset bersihnya ketika itu negatif ​​RM3.4 juta.

Tahun lepas pada akhir Disember 2021, Invoke mengalami kerugian yang lebih besar sebanyak RM1.1 juta dan aset bersihnya terus merosot kepada ​​-RM4.7 juta.

Menurut Sian See, tiba-tiba dalam tempoh 10 bulan, lnvoke daripada aset bersih negatif ​​RM4.7 juta kepada positif RM17 juta.

Ia merupakan perbezaan RM21.3 juta dalam masa 10 bulan sahaja. – MalaysiaGazette