SEBERANG PERAI – “Kami (Barisan Nasional) simpati dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, (Chow Kon Yeow) banyak kerja untuk uruskan kerajaan negeri jadi Parlimen Batu Kawan biar BN uruskan,”.

Itu jawapan Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir ketika diminta mengulas keabsahan calon MCA, Tan Lee Huat yang berdepan saingan lima penjuru termasuk Kon Yeow di Parlimen Batu Kawan di sini.

Musa berkata, pihaknya yakin anak tempatan yang dicalonkan mewakili BN itu mampu melakukan kerja terbaik buat penduduk Batu Kawan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi UMNO negeri turut memberi gambaran Kon Yeow perlu melalui perjalanan yang jauh dari bahagian Pulau untuk ke tanah besar bagi menyantuni atau menyelesaikan masalah penduduk Batu Kawan sekiranya beliau dipilih.

“Kita masuk pertandingan mesti nak menang dan kita tak mahu terlalu yakin mengenainya namun, kerja untuk ke arah itu giat dilakukan.

“Saya nak bagi tau kepada rakyat di Batu Kawan juga yang mana kita (BN) simpati dengan KM (Kon Yeow), kita kesian lani pun dia kerja banyak jadi boleh ka nak jaga Batu Kawan dengan kerajaan negeri? kecuali dia duk di Tanjong.

“Bayangkan dia nak mai dari Pulau ke Batu Kawan? Kalau cakap soal banjir rumah dah hanyut baru dia akan sampai,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Mengulas lanjut Musa berkata, pihaknya tidak menyifatkan Kon Yeow sebagai pemimpin tidak bagus sebaliknya meminta rakyat menilai isu tersebut.

“Jadi kita minta rakyat di Batu Kawan tengok dan nilai, kita tak kata KM tak bagus cuma kerja Parlimen Batu Kawan biar orang lain (calon BN) buat,” katanya.

Terdahulu, Musa merasmikan program pemerkasaan jentera pilihan raya BN bagi Parlimen Batu Kawan di Dewan Serbaguna Perkampungan Juru di sini.

Hadir sama Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng.

Dalam perkembangan berasingan, Musa berkata, jentera BN di negeri ini menerima sambutan yang menggalakan berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU14).

“Kalau kita lihat suasan kini lebih bersemangat berbanding PRU14 dan nampak jentera pilihan raya berjalan dengan baik bermula dari penamaan calon lagi,”jelasnya. – MalaysiaGazette