Ahmad Zahid BN Kit Siang rasuah
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) untuk rakyat negara ini sebagai manifesto bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PADU merupakan tawaran baharu yang segar daripada BN kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, di dalam PADU terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tanah air untuk menjadi negara berkemajuan.

“PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi.

“PADU adalah pelan yang serius dan rasional, mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN secara maya, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk berkata, lima idea besar yang mendasari tawaran utama di bawah PADU iaitu penyelesaian nasional yang komprehensif.

Ujar beliau, ia bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

“Kedua, PADU mengenai tekad dan nekad BN untuk melakukan beberapa pembaharuan yang radikal dan bersifat struktural dalam negara kita serta ketiga, keterangkuman dan pengiktirafan kerencaman.

“Keempat, PADU satu penggandaan usaha untuk kita meletakkan asas-asas penting untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, idea yang kelima adalah kejayaan 99 perkara dalam PADU ini bergantung kepada bagaimana BN mengamal dan mengusahakan dengan berstrategi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN mahu mewujudkan sebuah kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat serta menguruskan Malaysia supaya menjadi sejahtera dan makmur.

“Kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan. Kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette