IPOH – Pengalaman sebagai ahli Majlis Bandaraya Ipoh tidak akan disia-siakan malah akan digunakan sebaik mungkin untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abdul Rahman berkata, melalui pengalaman tersebut beliau amat memahami setiap segmen masyarakat di dalam DUN tersebut.
Jelas beliau, masyarakat Hulu Kinta terdiri daripada tiga segmen iaitu mereka yang tinggal di bandar raya Ipoh, kampung tersusun dan kampung tradisional.
“Tiga segmen ini ada masalah yang berbeza. Kita kena hayati setiap segmen penduduk bagi memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.
“Saya sudah jadi ahli majlis selama lapan tahun. Waktu zaman BN, berhenti masa kalah dan dilantik semula semasa Perikatan Nasional berkuasa,” katanya.
Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun itu ditemui di Kampung Che Zainal semasa beliau turun berkempen untuk mendekati khususnya golongan muda.
Beliau menegaskan tidak akan menabur janji ‘bulan dan bintang’ kepada penduduk ketika berkempen tetapi berikrar untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Orang mengenali saya di DUN Hulu Kinta ini sebagai kaunselor ahli majlis berkhidmat kepada masyarakat.
“Tapi saya punya manifesto, berjanji untuk berkhidmat kepada msyarakat. Kalau nak janjikan bulan, langit dan bintang. Itu bukan saya,” katanya yang ditemui ketika mendekati golongan muda di kawasan tersebut.
Sebagai bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun selama lima tahun Mazlan menyedari kehendak dan keperluan golongan muda telah berubah.
Menurutnya, pemimpin perlu memahami pola pemikiran kumpulan itu supaya perkhidmatan yang terbaik boleh diberikan kepada kumpulan yang dianggap sebagai pembina masa depan negara itu.
“Anak muda generasi sekarang ini ada pelbagai pola pemikiran. Kalau lihat, dulu, suka minat bola, skrg PubB dan Mobile Lagend. Ini pemikiran sekarang.
“Ada golongan yang ini yang berusia 18 ke 19 masih di bawah tanggungjawab dan pengaruh keluarga. Manakala mereka yang berusia 20 ke atas ada dalam pemikiran lain. Dia ada pelbagai pola pemikiran yang perlu didekati.
“Saya tidak berapa kekok bersama mereka walaupun jarak umur berbeza kerana saya mempunyai proses dari bawah bersama orang muda,” kata Mazlan.
Mazlan berhadapan pertandingan empat penjuru iaitu penyandang kerusi Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Pakatan Harapan), Puteri Holijah Mohd Rali (Perikatan Nasional) dan Murugiah Subramaniam (Bebas).
Terdapat 74,292 pengundi di DUN Hulu Kinta dengan 69,597 pengundi biasa, pengundi awal (4,685) dan pengundi tidak hadir luar negara (10).
Jumlah pengundi berusi 18 hingga 20 adalah seramai 4,860; 21 hingga 29 (17,471) dan 30 hingga 39 (17,322).-MalaysiaGazette