SEPANJANG tiga hari tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula, suasana di sekitar kawasan Parlimen Rembau masih lagi suam-suam kuku.
Belum ada calon yang menganjurkan ceramah secara besar-besaran seperti yang sering dilakukan pada PRU14.
Kelima-lima calon yang bertanding lebih menumpukan kepada aktiviti ramah mesra bersama pengundi di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai seperti pasar malam, pasar awam dan restoran.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi juga diberi perhatian yang lebih oleh calon-calon berbanding tiga DUN lain iaitu Rantau, Chembong dan Kota.
Perkara itu tidak menghairankan kerana DUN Paroi mempunyai lebih 50,000 pengundi, jumlah yang tertinggi di Parlimen Rembau.
Pilihan pengundi di Paroi bakal menjadi faktor penentu kemenangan mana-mana calon yang bertanding.
Walaupun sudah dikenali ramai selaku bekas Menteri Besar, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan tetap giat bertemu dengan para pengundi.
Begitu juga dengan calon Perikatan Nasional (PN), Nazree Yunus serta Jufitri Joha dari Pakatan Harapan (PH) dan S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Setakat ini, strategi kempen calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ramly Awalludin belum diketahui kerana beliau dilihat ‘menyepikan diri’ sama ada di media massa atau media sosial.
Calon-calon juga lebih banyak memperkenalkan diri dan nombor masing-masing pada kertas undi.
Belum kedengaran taktik kotor seperti serangan peribadi atau dakwaan berunsur fitnah dilemparkan terhadap pihak lawan.
Semoga situasi aman dan damai ini berterusan sehingga detik 11.59 malam pada 18 November nanti. – MalaysiaGazette